Google+ Fans

Tuesday, December 31, 2013

PUNCA ANAK DERHAKA

Sabda Rasulullah SAW :-

"Berguraulah dengan anak kamu kala usianya 1 - 7 tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas 7 hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah... ".  
Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan.

Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka. Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka. Kebanyakan anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia suka balik ke rumah dan pergi sekolah pun seronok.

Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka, inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah SAW, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT

Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat.
Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA

Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruhutamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa.Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

USAH DERHAKA KEPADA MENTUA

Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak kita sendiri. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? Ada menantu yang kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung kita.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.

Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail.

Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun
tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Tips

1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

2. Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anakyang jarang dipeluk)

3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan , mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa ituterus berlalu dan tak akan kembali).

7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

8. Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya .

10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri . Mereka akan menirunya.

11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya.Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

13. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka . Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan andasuami isteri.

14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran
mereka sebelum berbuat demikian.

16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,

17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda.

Mudah-mudahan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insya'Allah.

Wallahualam

Monday, December 30, 2013

Macam Ni Ceritanya Bang…

     Pagi-pagi lagi saya dah bangun. Betul saya tak tipu, ayam yang selalu tumpang tidur kat depan umah kita pun saya yang kejutkan. Memang saya dah plan baik, memang plan ni la yang paling terbaik sejak saya sekolah dulu. Kira kalau jadi plan saya ni kompom akan tercatat dalam buku rekod dunia la. Betul… saya tak tipu.

     Belum pun pukul 6 pagi saya dah standby depan rumah. Barang-barang semua dah siap, list, duit harian campur duit main kutu semua saya dah siapkan. Memang dah betul-betul nak pergi ni. Baru je kaki setapak melangkah saya dengar ada bunyi suara perempuan mintak tolong. “Tolong, tolong!” Sayup dan sayu bunyinya. Mula-mula seram jugak, lepas tu dah tak seram sebab suara tu datang dari Mak Kiah jiran belakang rumah. Umur dah nak masuk 64 tahun pun mengandung lagi. Haa, tu suara dia nak beranak la tu. Saya sebagai jiran dan pernah memasuki kelab rakan sebaya tiga tahun berturut-turut serta ahli jawatankuasa keceriaan persatuan pandu puteri sekolah merasakan amatlah tidak adil kalau saya tak tolong. Betul… saya tak tipu.

     Tanpa menoleh kebelakang dan memikirkan bebanan hutang, saya dengan selamba melantik diri saya menjadi bidan dalam acara membidankan Mak Kiah ni. Saya pun apalagi suruh la dia teran. Tolak, push… sebijik macam drama kat TV sambil menyanyi lagu ‘Kau Boleh’ sebagai pemberi semangat. Last-last selamba je dia lempang saya dengan alasan saya ni menyindir perut buncit dia. Ooo.. mana la saya tau perut dia buncit, ingatkan nak beranak tadi. Tapi saya pelikla apasal pulak dia menjerit pagi-pagi ni, rupa-rupanya masa syok makan lempeng dia tergigit lidah sendiri. Betul… saya tak tipu.

     Lepas kena lempang, dengan muka yang bengkak dan berbekalkan hati yang bengang saya tetap meneruskan niat ke destinasi yang nak dituju. Sekali lagi saya dikejutkan dengan insiden yang pelik, cuaca nan indah dan cerah diselang seli dengan kicauan burung-burung, diterangi sinar suria, ditambah dengan tiupan angin barat daya yang dingin berubah menjadi gelap dengan serta merta. Saya menjerit sekuat hati bila ingatkan saya dah buta tapi tiba-tiba ada sorang mamat tegur saya, “Tau la pakai spek hitam baru, tak payah la nak berlagak!” Laa… saya tak perasan pulak yang dari tadi saya pakai spek hitam. Betul… saya tak tipu.

     Saya pun terus berjalan dengan muka bersahaja sambil menyisipkan spek hitam di dada. Tiba-tiba saya tengok sekumpulan manusia bertempiaran lari. “Eh! Ada acara merentas desa ke pagi-pagi ni?” Saya pun tanpa segan silu join diorang lari. Lari punya lari, punya lari… tapi tak sampai-sampai jugak garisan penamatnya. Rupanya baru saya tau yang diorang ni lari dari hutang. Saya ni mana ada hutang, buat apa saya nak lari. Buat penat jela. Lepas tu, haa… ni yang seram. Saya nampak ada raksasa. Apa hal pulak menatang ni buat kat sini? Ke saya dah lari sampai Jepun? Konfius jugak saya orang keliling buat rilek je, siap lambai-lambai, jerit macam nampak Brad Pitt pulak. Berbekalkan semangat pahlawan yang tinggi saya berlari sambil menjerit dan berubah menjadi hero pujaan ramai Ultraman Taro tapi sayang, cota hikmat yang saya jumpa masa mengembara kat Jepun tu takde bateri… lupa nak cas. Takpe… saya akan cuba lawan jugak. Saya gigit kuku kaki kanan dia bagai nak rak, raksasa tu selamba je senyum kat saya. Lepas tu saya tengok ada kerusi terbang tepat kena kat kepala saya. “Cut!” Laa… diorang tengah shooting filem rupanya. Betul… saya tak tipu.

     Saya pun teruskan lagi perjalanan walaupun diejek dan dimalukan tapi demi tanggungjawab saya teruskan jugak. Ingat dah habis dah penyeksaan saya tapi rupa-rupanya ada lagi… lagi dahsyat. Saya nampak kereta, lori, kereta kebal, kapal terbang semua berubah jadi robot… besar tu. Semua benda boleh jadi robot, siap bergaduh lagi. Ada yang keluar api kat tangan, ada yang keluar bom, bangunan kiri kanan habis hancur. Ada 2 puak… yang baik heronya lori dan yang jahat jet. Perghh! Dahsyat tu diorang gaduh sampai meletup sini sana, kagum la saya tengok tapi tiba-tiba je…”Ni bukan wayang, nak tengok beli!” Laa… saya terlayan TV kat tepi jalan rupanya. Patut macam pernah tengok je cite tu. “Alamak!” Jerit saya bila lihat jam lagi 12 minit nak ke pukul 5. Berlari saya balik rumah sampai lupa nak beli apa-apa. Betul… saya tak tipu, macam tu la ceritanya bang.

     “Dah, dah… tak payah nak mengarut lagi. Bukan saya tak tau awak layan telenovela dari pagi sampai petang. Jangan katakan masak, pergi pasar pun tak, makan kat luar je la malam ni.” Ujar suamiku. Aku hanya mampu tersenyum riang menandakan taktik untuk menyelamatkan diri hari ni dah berjaya.

Friday, December 27, 2013

Konsisten Jadi Budak Baik… Bagaimana?

     Dalam usaha untuk menjadi “budak baik”, sudah pasti ada sebahagian yang tidak suka. Siapakah antaranya? Ya, tidak lain tidak bukan; syaitan! Jadi, serangan syaitan yang cemburu melihat manusia ingin konsisten dengan kebaikan perlu dipatahkan. Bagaimana?

MISI TUMPASKAN SYAITAN

 1. Belajar taktik dan tipu daya syaitan.

·        Sebelum syaitan menang dalam misi mengajak kepada kejahatan, kita terlebih dahulu tumpaskan mereka. Syaitan tak pernah jemu menggoda. Ditunjukkan yang jahat itu mudah dan nikmat. Yang baik itu berat, sedangkan yang baik payahnya sebentar, nikmatnya kekal. Kadang-kadang digodanya supaya dahulukan yang sunat, sehingga tertinggal yang wajib. Diserunya berbuat kebaikan tetapi ditanam benih riyak, ujub dan pelbagai lagi. Pendek kata, syaitan licik dan tidak pernah berputus asa. Ayuh! Kita belajar daripada syaitan sikap tidak berputus asa. Tetapi tidak putus asa berbuat kebaikan!

 2. Tidak beri perhatian pada hasutan syaitan

·        Bayangkan yang syaitan ada di hadapan kita dan berusaha memperdaya manusia. Bagaimana agaknya jika kita berjaya menumpaskan godaannya? Pasti kita melompat kegembiraan apabila nampak syaitan dikalahkan oleh kita. Ingat, gangguan syaitan hanya dalam bentuk bisikan. Langsung tidak boleh mencederakan dan memaksa kita. Sekiranya tewas, sungguh kita lemah kerana hanya tertewas dengan bisikan sahaja. Maka fokus pada amalan dan rasai nikmatnya kemanisan iman daripada ibadah yang dilakukan secara berterusan.

 3. Sebut nama Allah sebanyak-banyaknya


·        Kalahkan syaitan dengan ingatan (zikrullah) yang lebih kepada Allah. Hubungan yang rapuh dengan Allah memberi peluang kepada syaitan lebih mudah menggoda. Iman perlu diperbaharui setiap hari, antaranya dengan sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara yang ingin dilakukan.



Thursday, December 26, 2013

20 Perkara Yang Membuatkan Wanita Membenci Lelaki


1. MENINGGIKAN SUARA
  • Tahulah mereka dikurniakan suara yang ‘macho’ tapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.


2. MAIN KAYU TIGA
  • Bab main kayu tiga ni masalah paling besar. Walaupun dah ada kekasih, mereka sukar untuk setia. Apatah lagi kalau digoda, terus disambar tanpa mempedulikan perasaan kekasihnya.


3. SUKA ‘CUCI MATA’
  • Kebanyakan lelaki sukar mengawal mata (mata keranjang). Pantang jumpa perempuan cantik dan seksi mulalah mata tu macam nak terkeluar. Walaupun sedang bersama kekasih, si dia tidak akan peduli. Bagi mereka tidak salah kalau sekadar mencuci mata tetapi hati kekasih kenalah jaga juga cik abang!


4. MENGONGKONG
  • Itu tak boleh, ini tak boleh, sikit-sikit nak kontrol. Segala gerak-geri kekasih dikawal, sampaikan nak berpakaian pun harus ditentukan. Kalau nak keluar ke kedai pun kena repot dulu, kalau tidak mulalah tercetusnya pertengkaran kerana hal sekecil itu. Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka disoal siasat oleh kekasih mereka… Macammana tu?


5. EGO
  • Ini merupakan masalah paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Keegoan dan lelaki memang tak dapat dipisahkan. Tetapi ada kalanya lelaki menjadikan keegoan sebagai alasan untuk mereka bertindak tanpa mempedulikan perasaan si gadis. Keegoan membuatkan lelaki mempunyai kuasa veto dalam kehidupan mereka termasuklah memimpin kaum wanita. Tidak salah mempamerkan ego tetapi biarlah kena pada tempatnya.


6. MENIPU
  • Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tak munasabah. Sanggup memungkiri janji dan memberikan alasan yang mereka mempunyai masalah yang tak dapat dielakkan padahal sebenarnya mereka enggan melaksanakan janji mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Berterus-teranglah wahai kaum lelaki kerana kaum wanita lebih menghormati mereka yang memiliki sifat berterus-terang ini. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini lama kelamaan akan membuatkan semua gadis akan menjauhi anda.

7. PERASAN
  • Aduhaiii… lelaki ini cepat perasan terutamanya jika mereka ini berkerjaya baik, berpenampilan menarik dan mempunyai wajah yang hensem. Boleh tu mengaku merekalah yang menjadi lelaki idaman para wanita. Tapi, mungkin pada pandangan seorang wanita mereka ini sederhana sahaja tapi mereka ini yang suka perasan lebih. Bukan semua wanita memandang pada paras rupa, kalau dah terlebih-lebih perasan tuu… Ada wanita yang lebih suka mengutuk dari memuji…

8. MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI
  • Susah juga kalau dapat yang mementingkan diri sendiri ni. Lelaki selalunya tidak mahu mengalah dan ingin menegakkan pendapat sendiri tanpa mempedulikan luahan pasangannya. Mereka juga suka mendahulukan kemahuan mereka dan jarang hendak mementingkan perasaan kekasih… Egolah katakan! Tidak semestinya pendapat kaum wanita ni tak boleh diguna pakai.

9. KURANG MEMBERIKAN PERHATIAN
  • Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian tidak kira dalam apa jua urusan. Tetapi kalau urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, pantas pula melaksanakannya. Jika berkaitan teman wanita, alamatnya… mereka kurang mengambil perhatian. Mengapa ya? Kaum wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tetapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya kerana sifat semulajadi seseorang wanita itu yang ingin bermanja dan dimanjakan.

10. CEMBURU BUTA
  • Orang kata cemburu tandanya sayang, tapi kalau cemburu tak tentu pasal dan memanjang saja cemburu, tentu rasa tak selesa juga. Agaknya lelaki yang kuat cemburu ni takut kekasihnya terlepas ke tangan kumbang lain kot. Harus diingat, bukan semua perempuan suka kekasihnya kuat cemburu. Tapi, ada juga sesetengahnya suka apabila teman lelakinya cemburu kerana seolah-olah teman lelakinya amat menghargai dirinya. Jangan cemburu buta sudahlah, malas jugak nak layan kadang-kadang! 


11. MATA DUITAN
  • Jangan tak tahu ada juga lelaki mata duitan atau pun gelarannya ‘lelaki spedo’. Mereka tak kisah nak kikis duit kekasih dengan 1001 macam alasan yang adakalanya tidak logik diterima dek akal fikiran. Kalau kisah perempuan mata duitan kita sudah biasa dengar, tapi kalau lelaki pula yang mata duitan… apa cerita ni?? Takkan masa-masa macam ni keegoan lelaki hilang pulak?!!


12. KOMITED TERHADAP KERJAYA
  • Susah kalau dapat teman lelaki yang terlalu komited dengan kerjaya. Mereka ni selalu sangat memberi banyak alasan kerja apabila diajak keluar. Kalau keluar bersama, selalu pula bercerita tentang kerja dan merungut sering dibebani kerja yang menimbun. Bukanlah tidak boleh lelaki mementingkan kerjaya tetapi pandai-pandailah membahagikan masa bersama teman wanita. Paling tidak pun, seminggu sekali luangkan masa menemaninya dan lupakan segala hal berkaitan kerja. Bukannya kaum wanita ni tidak memahami kalau teman lelakinya pandai membahagikan masa…


13. PANAS BARAN
  • Aduiii… masalah yang boleh menimbulkan fobia terhadap seseorang gadis apabila mendapat kekasih yang panas baran. Pantang silap sikit, mahu dihambur segala kemarahannya. Ada juga kesilapan bermula dari diri sendiri tetapi tetap menyalahkan orang lain. Setakat kena tengking boleh lagi diterima walaupun sebal satu badan tapi, bagaimana kalau siap sepak terajang? Kalau nak sepak terajang carilah mereka yang sepadan dan janganlah berlawan dengan kaum yang lemah bang! Di mana sifat bertanggungjawab dan kepimpinan yang ada? Cuba-cubalah kawal kerana setiap dari kita ada barannya, cuma kena pandai-pandai mengawallah. Kalau dah tak terkawal sangat, tak payah bercintalah cik abang oiii!!!


14. KAKI MEROKOK
  • Ini satu lagi sifat kaum lelaki yang melemaskan wanita. Asyik berasap sana sini, naik lemas dengan bau dan asap rokoknya. Dalam sehari adakalanya habis sekotak rokok. Kalau habiskan duit dengan makan benda berfaedah tak apa juga, ini tidak… asyik menyedut asap yang tidak menyehatkan. Kalau asap tu membawa kesan pada diri sendiri saja tak apa juga, ini tidak… membawa kesan juga pada orang sebelah menyebelah. Kadang-kadang teman wanita menegur bukannya apa, dia sayangkan kita juga dan tak mahu kita jatuh sakit. Lagipun mereka juga tak nak teman lelaki mereka membazirkan duit dengan merokok.


15. PENGOTOR
  • Ada segelintir lelaki sukar nak menyedari diri mereka ni ada yang pengotor. Terutama bab meludah atau membuang kahak merata-rata. Yarkkk!!! Ada juga yang jarang basuh seluar, pakai baju yang sama berulang kali, tidak memakai deodarant dan macam-macam lagi sampaikan badan sudah berbau semacam pun dia tak sedar. Tidakkah mereka ini terasa segan apabila menyedari badan sudah berbau?? Entahlah… hanya kaum lelaki yang bersifat pengotor ini saja yang dapat menjawabnya.


16. GELOJOH
  • Kalau bab makan, lelaki ni agak gelojoh. Macam ‘food machine’. Mereka lemas melihat teman wanita mereka makan terlalu sopan tetapi mereka tidak sedar cara mereka makan yang gelojoh juga melemaskan kaum wanita. Sepatutnya, samada lelaki mahupun wanita patutlah makan dengan bersopan. Buat apa terkejar-kejar? 

17. PENTINGKAN KAWAN-KAWAN
  • Sanggup membatalkan temujanji semata-mata hendak bermain bola sepak ataupun menonton WWF bersama kawan-kawan. Lelaki juga selalu mementingkan kawan-kawan dalam banyak hal. Sekali-sekala bolahlah, jangan pula selalu saja memberi alasan hinggakan masa bersama teman wanita tiada langsung semata-mata untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Apa guna bercinta kalau macam tu gayanya? Kalau ada masalah pula, kawan-kawan sebagai tempat mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan si dia. Kalau dah memilih si dia sebagai kekasih, mungkin satu hari si dia juga akan menjadi isteri anda, jadi takkanlah anda selalu hendak merahsiakan sesuatu dari dia. Tak eloklah berbuat demikian, nanti si dia terasa seolah-olah dirinya tidak penting buat anda pula.

18. TIDAK TAHU MENGHARGAI
  • Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Mereka seboleh-bolehnya mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap menghargai mereka ini. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan tu, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap anda yang menghargainya di atas apa yang cuba dilakukannya terhadap anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda. 

19. PUTAR BELIT
  • Lelaki ni ramai yang pakar memutar-belitkan kenyataan walaupun ternyata sememangnya merekalah yang bersalah. Bagi mereka, putar belit ini tak mengapa asalkan si dia mempercayai alasan tersebut dan mereka akan terlepas dari kesalahan sendiri. Sekiranya anda benar-benar menyintai pasangan anda, perkara begini seharusnya tidak berlaku kerana apa akibatnya sekiranya si dia mengetahui juga tipu helah anda suatu hari nanti. Kalau anda tak pandai menyelamatkan keadaan, melepaslah anda! Jujurlah pada pasangan anda.

20. SUKA KONTROL MACHO

  • Peh! Nak dikatakan macho, ada juga yang tak. Hancur je yang lebih kot! Terutama bab sikap, mahu lebih gentleman, berketrampilan dan hensem. Seboleh-bolehnya mereka mahu menampakkan yang diri mereka lelaki sejati dan ada elemen HERO. Tak perlulah nak merasakan diri anda macho kerana wanita sahaja yang layak membuat penilaian terhadap anda. Sekiranya anda rasa diri anda macho, tetapi pada mata wanita tersebut anda tidaklah semacho yang disangkakan, tak guna juga.

Tuesday, December 24, 2013

Adab Memberi Nasihat



1. Niat yang benar


  • ·        Orang yang memberi nasihat kepada orang lain hendaklah meniatkannya semata-mata kerana Allah di samping mencari pahala dan balasan di sisiNya. Ini kerana nasihat yang diberikan kepada kaum Muslimin mengandungi pahala yang besar. Rasulullah SAW sendiri menganggapnya sebagai inti ajaran agama seperti dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Agama adalah nasihat.”

 2. Memberikan nasihat walaupun tidak diminta

  • ·        Ini merupakan kesempurnaan nasihat untuk saudara sesama Muslim. Jika kita mendapatinya hampir terjatuh dalam sesuatu keburukan, melakukan perlanggaran syariat, melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya, maka perlu segera menasihatinya. Bersabarlah dengan respons tidak baik yang mungkin bakal diterima. Jika itu berlaku, jangan berhenti memberi nasihat kerana kita melakukannya hanya kerana mengharapkan pahala daripada Allah.

 3. Menyampaikan nasihat dengan berhikmah

  • ·        Dalam keadaan-keadaan tertentu, nasihat boleh disampaikan secara langsung. Namun dalam sesetengah keadaan, lebih utama untuk memberi nasihat secara tidak langsung. Kadangkala nasihat juga boleh disampaikan melalui amal perbuatan. Cara penyampaian nasihat berbeza-beza mengikut keadaan orang yang dinasihati; anak kecil, orang dewasa atau orang yang memiliki kedudukan tinggi di tengah-tengah masyarakat. Tidak semua cara sesuai untuk setiap orang.

 4. Memberi nasihat secara umum dalam urusan agama dan dunia

  • ·        Seseorang perlu memberi nasihat kepada saudara sesama Muslim sama ada dalam perkara agama, mahupun dunia. Maksudnya, dalam perkara-perkara yang ia ketahui atau yang dipandang sebagai perkara yang bermanfaat bagi orang tersebut dalam urusan agama dan dunianya. Apabila mempunyai peluang untuk memberikan nasihat, maka janganlah kita menahan diri untuk melakukannya.

 5. Merahsiakan nasihat

  • ·        Seseorang tidak seharusnya memberikan nasihat secara terang-terangan di hadapan orang lain kerana ia boleh memalukannya. Imam al-Syafi’i berkata:
“Sesiapa yang menasihati saudaranya secara diam, maka sungguh dia telah memberikan nasihat dengan cara yang paling baik. Sedangkan, sesiapa yang memberikan nasihat secara terang-terangan, maka dia telah mendedahkan keaiban dan merendahkan saudaranya itu.”

Friday, December 13, 2013

MURTAD



1. Murtad. Secara umumnya, apa yang perlu saya tahu?

·        Murtad berasal daripada perkataan Arab “riddah” yang bermaksud kembali daripada sesuatu kepada sesuatu, yakni keluar daripada agama Islam yang dianuti.
·        Murtad boleh berlaku dengan pelbagai cara sama ada melalui perbuatan, perkataan atau dengan niat, dengan agenda utamanya untuk menyekutukan Allah.
·        Murtad juga boleh berlaku apabila mengingkari agama Islam atau salah satu rukun Islam.
·        2 unsur penting dalam jenayah murtad adalah:
                     i.        Tindakan keluar daripada Islam melalui perbuatan yang dilarang oleh Islam.
                   ii.        Mempunyai niat melakukannya dengan sengaja.

·        Gejala murtad semakin menular tanpa disedari seperti tawaran ganjaran kewangan, pengedaran risalah-risalah yang mengelirukan serta isu semasa seperti kalimah Allah yang ingin digunakan oleh agama lain sebagai rujukan kepada tuhan mereka.
·        Jenayah murtad boleh member kesan kepada pembubaran perkahwinan, hak perwalian, hak atas harta pusaka dan lain-lain lagi.

2. Apakah antara faktor penyebab murtad?

·        Kurang didikan agama semenjak kecil lagi kepada anak-anak.
·        Ibu bapa yang mengambil mudah tentang pengetahuan agama.
·        Sebahagian guru di sekolah jarang menerapkan nilai agama dalam diri pelajar.
·        Pergaulan bebas tanpa sempadan antara jantina.
·        Orang awam keliru akibat percakaran sesama ahli agama.
·        Nilai Islam termasuk sunnah Rasulullah SAW semakin terhakis.
·        Terlalu mengagungkan budaya Barat sehingga budaya Islam dipinggirkan.
·        Media massa tidak memainkan peranannya untuk mempromosikan Islam.
·        Birokrasi daripada pihak agama yang mempunyai autoriti.

3. Bagaimana hukuman murtad menurut perspektif syarak?

·        Murtad termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak diampunkan Allah SWT melainkan dengan bertaubat.
·        Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud:
    “Sesiapa antara kamu yang murtad (keluar menjadi kafir semula) daripada agamanya (Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.”
·        Hukuman murtad hanya dijalankan apabila tamat tempoh seseorang untuk bertaubat. Tempoh masa bertaubat mempunyai banyak khilaf.
·        Hukuman murtad salah satu daripada hukuman hudud yang ditetapkan oleh Allah Taala.
·        Tidak ada peruntukan khusus mengenai kesalahan murtad yang dikuatkuasakan di Malaysia kecuali, sebelum dijatuhkan hukuman hendaklah diperintahkan supaya bertaubat selama tempoh tiga hari dan/atau menjalani kursus pemulihan akidah.
·        Sekiranya pesalah murtad masih ingin meneruskan hasratnya keluar daripada agama Islam, maka mahkamah syariah boleh memenjarakannya selama lima tahun maksimum atau denda.

4. Apakah langkah yang perlu diambil untuk mengatasi jenayah murtad?

·        Serius menangani isu pencemaran akidah kerana ia bukan jenayah yang biasa.
·        Penekanan ilmu agama perlu bermula semenjak kecil. Agama perlu dijadikan asas dalam setiap tindakan.
·        Islam ialah agama persekutuan. Seharusnya agenda Islam menjadi agenda utama.
·        Pembelajaran al-Quran dan sunnah perlu diberi perhatian khusus dalam subjek-subjek di sekolah.
·        Institusi masjid lebih proaktif dan mesra dengan anak muda.
·        Media massa memainkan peranannya dari segi tayangan filem ataupun drama yang lebih berunsurkan Islam.

Friday, December 6, 2013

Adab Sebagai Tetamu: Elak 7 Perkara Ini !!!

1. Abaikan tuan rumah dan tetamu lain.

Bergaul dan berbual mesralah dengan tuan rumah serta tetamu lain. Jangan membawa diri kerana ia mencerminkan sikap negatif.

2. Berbisik dengan tetamu lain.

Ini adalah satu tingkah laku kurang sopan kerana tidak hormati perbualan di antara tuan rumah atau tetamu-tetamu lain yang hadir. Pada tanggapan tetamu lain yang hadir, anda sedang bergosip walaupun sebenarnya anda menyampaikan sesuatu yang baik.

3. Mengkritik atau memburukkan anak-anak tuan rumah.

Sebagai seorang ibu atau bapa, anda pastinya akan berasa kecewa dan marah apabila anak-anak anda dikritik tentang perangai atau perilaku oleh tetamu yang hadir di rumah anda. Sebaliknya apabila anda sebagai seorang tetamu yang hadir di rumah seseorang, anda perlulah menjaga sensitiviti dengan tidak menyentuh soal yang berkaitan dengan hal-hal yang sememangnya negatif dari pandangan mata kasar anda terhadap anak-anak tuan rumah.

4. Mengkritik masakan.

Walaupun juadah yang dihidangkan oleh tuan rumah kepada anda kurang enak untuk dinikmati, jangan sekali-kali mengkritik masakan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Perbuatan ini memang menyakiti hati tuan rumah.

5. Tergesa-gesa meninggalkan rumah.

Setelah selesai menjamah juadah yang telah disediakan oleh tuan rumah kepada anda, ambil masa untuk berbual dengan tuan rumah berkenaan beberapa topik. Sebaiknya berikan sedikit pujian tentang masakan yang telah dinikmati tersebut. Sikap tergesa-gesa untuk pulang ini menggambarkan anda hanya dating untuk makan.

6. Bertanya soalan sensitif.

Anda haruslah sentiasa mengetahui tentang perkara-perkara yang tidak perlu untuk anda bertanyakan kepada tuan rumah. Hormatilah sensitiviti tuan rumah anda dengan tidak bertanyakan soalan di luar jangkaan atau tidak rasional untuk dijawab.

7. Tidak mengucapkan terima kasih.

Terima kasih boleh dinyatakan dalam pelbagai bentuk iaitu lisan, bertulis, atau beberapa hadiah kecilsemasa ketibaan di rumah seseorang. Menyatakan terima kasih adalah penting bagi memaparkan penghargaan kerana anda telah dilayan dengan baik oleh tuan rumah. Setiap jemputan untuk menghadirkan diri ke rumah atau setelah selesai menjamah juadah yang telah disediakan perlulah diselitkan dengan ucapan terima kasih. Tidak ketinggalan juga apabila meninggalkan rumah seseorang. Ini menunjukkan anda berasa gembira dan sangat berterima kasih dengan layanan yang telah diberikan kepada anda.

Semestinya juga perkara di atas boleh diadaptasikan didalam persekitaran pekerjaan. Contohnya apabila anda datng ke premis seseorang anda juga perlu menjaga adab dan tutur kata. Selain itu adab ini juga perlu diterapkan kepada anak-anak, rakan-rakan serta ahli keluarga anda.

LinkWithin

LinkWithin