Maka tersebutlah satu kisah di mana tahunnya tersangatlah
lama. Sebelum terciptanya calendar meja mahupun computer riba. Jika mahu di
kira berapa kurun cerita ini diwariskan maka orang itu pasti akan menjadi gila.
Tersebutnya kisah ini yang terletak tempatnya di dalam hutan yang terpencil,
sama seperti akan tahunnya juga… tidak diketahui asal tempatnya.
Di belakang sebuah
pokok jati ada terkumpulnya semua binatang, dari pelusuk hutan keluarnya
mereka. Yang di awan, di air dan di darat semuanya berkumpul seakan ada pesta
yang akan diadakan. Bila dibelek satu persatu wajah mereka, semuanya masam
mencuka dan bermuram durja. Entah apa sebabnya.
“Dengar sini rakyat
beta sekalian, hayat beta tidaklah lama. Telekan sang tabib hanya tinggal
sepurnama cuma. Sebelum beta menghembuskan nafas yang terakhir, inginlah beta
menyerahkan takhta beta ini kepada yang hak. Oleh kerana beta tidak mempunyai
zuriat, maka dengan ini beta ingin mencari antara sesiapapun dikalangan kamu
yang mampu menyahut cabaran beta ini akan beta tabalkan dia gelaran raja rimba
yang baru.”
Maka tercenganglah
sekalian penghuni hutan. Ada yang berpandangan sesama sendiri ada pula yang
tersenyum di dalam hati bila mendengar perkhabaran raja rimba yang mencari
pewaris takhta yang baru.
“Bersiaplah
semuanya, dengan terbitnya fajar besok hari maka bermulalah cabaran untuk kamu
semua.” Jerit sang singa dengan gagahnya. Maka bersurailah sekalian rakyat
pulang ke kubu masing-masing.
Duduknya di kubu
masing-masing tidaklah hanya bersahaja menggoyangkan kaki. Yang darat dengan
cara daratnya, yang di air dan di udara lazim dengan cara masing-masing.
Semuanya tidak sabar menunggu terbitnya fajar. Ada yang mengasah taji, ada yang
mengasah paruh, menajamkan gigi dan pelbagai cara lagi bagi memperkemaskan
diri.
Cuaca pada hari itu
dikhabarkan sungguh tenang. Tiada sebarang angin dan tiada sebarang awan.
Langit jingga surut bertukar warnanya menjadi biru air laut. Semua penghuni
hutan sudah siap sedia untuk bertempur. Tiada sebarang teguran, tiada sebarang
senyuman. Masing-masing mempertajamkan fikiran dan cuba untuk menidak rasa
belas kasihan kepada lawan.
“Dengar sini semua…
seperti yang dijanjikan semalam, sesiapa yang menang dalam pertempuran ini
dialah yang berhak memegang tampuk pemerintahan.” Jerit si raja. Maka terdengar
gegak gempita seluruh rimba.
“Sesiapa yang mampu
membawakan aku durian yang jauhnya di atas pokok itu maka dialah yang menang.”
Maka terkagumlah sebentar penghuni alam kerana mereka menyangka bahawa mereka
perlu beradu kekuatan seperti tahun-tahun yang sudah. Ternyata anggapan mereka
meleset.
Sahibul bermulalah
cabaran itu. Satu demi satu tumpas. Tingginya durian itu tidak dapat diukur
dengan pita pengukur. Makin lama, makin ramai yang kecundang. Jauh di balik
sebatang pokok terlihat musang yang mundar-mandir mencari arah. Sedang dia
bermundar-mandir tiba-tiba…
“Adoooiii!!”
Jeritnya seraya melompat tinggi. Tinggi lompatannya terus meluru ke arah satu
buah durian yang menjadi pertaruhan tersebut. Mereka yang lain melopong bila
melihat si musang melompat tinggi seakan sedang terbang, lalu… “Kuk!” Kepalanya
terhantuk akan buah itu dan jatuh terus ke tanah.
Tanpa sebarang
suara sebagai sorakan. Apa yang ada hanya suara mengaduh si musang yang tidak
sedar yang kepalanya tercucuk durian.
“Akhirnya kita
dapat juga pewaris takhta yang baru… musang si raja rimba. Dengan lafaz one two
three, beta isytihar raja baru… Musang King!” Laung sang singa. Si musang yang
masih terpinga-pinga sedang berusaha menarik duri yang melekat di kakinya.