Showing posts with label CERITA. Show all posts
Showing posts with label CERITA. Show all posts

Thursday, June 12, 2014

Movie dating with the boys: Edge of Tomorrow


edit sendiri ni.. kuikuikui

Semalam aku tengok citer ni.. Mula-mula aku tak faham..apa hal la ko asik dok ulang-ulang scene yang sama. Akhirnya aku faham jugak.. Nasib baik la hero Tom Cruise..kalau tak ade yang cabut keluar kot..hehe

Korang patut g tengok citer ni.. Banyak gak pengajaran yang aku dapat dari citer ni seperti kalau kite banyakkan latihan pasti kita akan jadik lebih bagus. Citer ni sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak.. Takde adegan sex atau ganas melampau.. Ni citer action so ganas tu terpulang pada korang la untuk tafsirkan..

Apepon aku happy spend time with the boys....


Monday, March 31, 2014

Kerana Semangkuk Bubur

“Kalau kau boleh pilih salah seorang daripada batch kita untuk dijadikan isteri, siapa yang akan kau pilih?” Spontan soalan itu terluah. Damak tergelak.

“Kenapa? Kau nak kahwin ke?” Adam menggeleng.
“Habis?”
“Saja. Nak tahu pendapat kau tentang ciri-ciri seorang bakal isteri.”
Mereka berdua baru sahaja selesai kuliah Fisiologi. Waktu lapang selama dua jam yang ada sebelum kuliah subjek seterusnya dimanfaatkan untuk sarapan walaupun jam sudah menghampiri pukul 10 pagi. Di meja makan tersebut hanya mereka berdua.

“Memang sah kau ni buang tabiat.” Damak tersenyum-senyum.
“Okey, aku jawab.” Damak akhirnya mengalah.
“Siapa?” Pantas Adam mengajukan soalannya semula. Wajah Damak dipandang tepat.
“Kau jangan nak buat gosip pulak. Ni contoh sahaja. Menjawab persoalan, bak kata orang.” Damak meletakkan syarat.
“Okey, takde masalah. Manalah tahu calon kau sama dengan pilihan aku, sekarang jugak aku pegi melamar.” ujar Adam sambil ketawa.
“Kalau dari batch kita, tak banyak choice. So, aku akan pilih Radin Rahmah.”
Pelajar perubatan Malaysia tahun empat di Universiti Nil itu tidak ramai. Cuma dalam lingkungan 100 orang. Separuh adalah lelaki, menjadikan pilihan pelajar perempuan untuk dipilih Damak cuma 50 orang dan Radin Rahmah menjadi pilihannya.
“Sebab?” Soal Adam selanjutnya.
“Ya lah. Dia kan cantik, kuat agama, lemah lembut, sopan santun, bak kata kawan kita, Ikmal, ada class.” jawab Damak selamba sambil menggayakan watak Ikmal dalam filem Syurga Cinta. Adam tergelak lagi.
“Kiranya pilihan kau mesti ada ciri-ciri tu la ek?” Damak mengangguk lagi. Kushari (sejenis makanan bangsa Mesir) di hadapannya sudah tinggal separuh.
“Kalau semua orang nak yang cantik, kuat agama macam kau nih, kesian la perempuan di luar sana yang buruk. Takde orang nak buat calon. Dah la buruk, minah bohsia pulak tuh.” luah Adam.
“Habis, kau berani?” Cabar Damak.
“Lelaki, kalau suka berfoya-foya pun, nak kahwin mesti cari yang baik punya.” sambungnya lagi.
“Kononnya.”
“86.48% lelaki macam tuh.” Damak melontarkan nombor secara rambang. Kemudian tergelak kecil.
“Ustaz aku dulu pesan, nak cari isteri, cari yang cantik.”
“Walaupun akhlak buruk?” Soal Damak.
“Ya.” Adam menjawab sepatah.
“Nak tahu sebab apa?” Soal Adam selanjutnya. Damak menceduk kushari sebelum menggangguk ingin tahu.
“Walaupun masa muda cantik, bila dah tua mesti kerepot kan?” Tanya Adam.
“Kalau ambik isteri cantik masa muda, masa tua nanti, sekurangnya dah menikmati kecantikan masa muda. Kalau masa kahwin dah hodoh, sampai mati kau sabar dengan kehodohannya tuh,” Adam tergelak besar. Damak pun sama.
“Habis, apa hal pulak akhlak diabaikan?” Tanya Damak setelah ketawanya reda.
“Akhlak boleh diubah, muka kalau make-up macam mana pun, tetap hodoh.” Adam gelak lagi.
“Sebenarnya ustaz aku gurau je tuh. Ciptaan Allah semuanya cantik, lawa. Cuma berbeza dari sudut pandang manusia. Bak kata Pemenang, cantik itu subjektif.” Shawarma (juga sejenis makanan Arab, macam sandwich) di tangannya dihabiskan.
“Tapi dalam gurauan dia tu ada betulnya juga. Samada kita berani atau tak menyahut cabaran mengubah seorang perempuan.”
“Kalau kau, confirm tak boleh. Cepat cair dengan perempuan comel. Dia panggil abang sikit, terus tak jadi nak tegur.” Gurau Damak. Gelak besar dia.
“Tahu takpe,” Adam hanya tersenyum. Dia memerhatikan pelajar-pelajar Arab di hadapannya yang sedang seronok berbual.
“Cumanya kalau kau nak yang cantik, kuat agama, lemah lembut, kau tu layak ke dapat jenis macam tu?” Soal Adam.
“Tak salah berharap kan?” Damak tersengih.
“Impian tak salah, tapi kena usaha juga. Mencari jodoh tak semestinya terhegeh-hegeh pergi mengorat. Ciri-ciri kau sebagai suami tu dah cukup ke belum. Orang kata, biar sekufu, biar ada kelas yang sama.” hujah Adam.

“Seronok sembang.” tegur satu suara dari belakang. Bahu Adam ditepuk. Sebungkus plastik berisi Tupperware diletak di atas meja.
“Eh, kau Bebe. Dari mana?” Soal Damak. Bebe mengambil tempat di hadapan mereka berdua. Peluh di dahi dikesat dengan tisu di atas meja.
“Dari kuliah laa. Dari mana lagi? Ingat aku ponteng kuliah ke apa?”
“Tetiba je muncul. Ni apa?” Adam membuka ikatan plastik di hadapannya. Tupperware dikeluarkan.
“Wah, bubur kacang. Kau masak eh?”
“Takde ah. Akhawat yang masak. Kan ada parents yang datang sini, so dia orang masak bubur. Entah ape mimpi diorang, banyak yang lebih, diberinya kat aku. Mentang-mentang aku handsome.” jelas Bebe.
Damak mengambil sudu lalu menjamah sedikit.
“Hampeh, dah lah cair, tawar plak tuh. Patut la dia bagi kat kau Bebe.” Dia meneguk air masak di dalam gelas.
“Kalau tahu sape buat nih, aku terus reject jadi bini.” sambung Damak. Kushari yang berbaki dicapai kembali.
“Radin Rahmah yang buat. Pergi complaint kat dia.” jawab Bebe selamba sambil merampas shawarma dari tangan Adam.
Damak tersedak. Adam hanya gelak.


*Lelaki mencari isteri yang cantik, kuat agama, tapi bila tidak pandai masak ada kemungkinan direject kerana tidak cukup sempurna. Lelaki-lelaki sekalian, sudahkah kalian cukup sempurna untuk menjadi imam dalam bahtera rumah tangga wanita-wanita yang bakal menjadi isteri-isteri kamu kelak? Renung-renungkan.

Wednesday, March 19, 2014

Talak Gugur Kerana Termakan Hasutan

     Daniel, lelaki yang hadir dengan pakej lengkap. Punya penampilan menarik, wajah kacak, berbudi bahasa dan sebagai pelengkap, kerjaya sebagai juruterbang menarik minat ramai wanita untuk cuba mendampinginya.
     Namun hati Daniel terpikat pada seorang pramugari bernama Fatin. Kerap ditugaskan bersama menghadirkan kemesraan antara mereka. Setelah selesa beberapa tahun sebagai sahabat, Fatin menerima Daniel sebagai cinta hatinya. Kemudian mereka berhasrat membawa hubungan kepada ikatan yang lebih serius.
     Bagaimanapun hubungan mereka ditentang oleh ibu Daniel. Kamariah enggan menerima pramugari sebagai menantu. Puas Daniel memujuk ibunya agar menerima Fatin tetapi Kamariah tetap dengan keputusannya. Namun bapa Daniel tidak sekali membantah kerana baginya sebagai lelaki, anaknya itu berhak membuat keputusan sendiri. Setelah memberi restu, Daniel nekad dengan keputusannya mengahwini Fatin. Tidak ada cacat celanya wanita itu dimatanya.
     Walaupun majlis pernikahan Daniel tidak dihadiri oleh keluarganya, dia tetap gembira. Bukan dia mahu membelakangkan orang tua tetapi dia berharap tindakannya ini akan menyedarkan ibunya bahawa anak-anaknya perlu mempunyai kehidupan tanpa dipengaruhi sesiapa. Daniel jelak dengan sikap ibunya yang telah mengatur empat perkahwinan abang-abangnya yang mana kebanyakannya berakhir dengan penceraian.
     Setelah berkahwin, Daniel meminta Fatin menamatkan perkhidmatannya. Fatin lantas bersetuju namun dia meminta keizinan suaminya itu untuk menyambung pelajaran. Beranggapan isterinya akan kebosanan, Daniel memberi kebenaran.
     Mendengarkan cerita mengenai kehidupan baru Daniel membuatkan Kamariah 'tidak puas hati'. Bagi Daniel pula, perkahwinannya dengan Fatin tambah bermakna apabila Fatin mengubah penampilannya. Fatin mula mengenakan hijab, malah mengawal pergaulannya dengan lelaki. Tentunya sebagai suami, Daniel bersyukur dengan perubahan tersebut dan menambah lagi rasa sayangnya kepada isterinya itu.
     Dalam pada itu, hubungan Daniel dengan ibunya masih lagi dingin. Puas dihubungi ibunya namun Kamariah enggan bercakap dengannya. Tidak cukup dengan itu, dibawa Fatin bertemu ibunya tetapi penampilan baru Fatin masih tidak dapat menyejukkan hati mentuanya itu.

Jijik Dengan Isteri

     Melihat kebahagiaan Daniel, menambah rasa geram di hati Kamariah. Dia tetap tidak senang dengan menantunya itu lantas merancang sesuatu. Diupahnya seorang pelajar lelaki yang merupakan rakan sekursus Fatin. Dia membenarkan apa sahaja cara, asalkan Fatin tak bersama Daniel lagi.
     Sehingga pada suatu hari, Daniel puas menunggu Fatin. Sepatutnya mereka mempunyai temu janji makan tengah hari bersama sempena kenaikan pangkat Daniel tetapi Fatin tak juga muncul. Telefon pula tidak berjawab, membuatkan Daniel berasa kecewa dan berang.
     Namun perasaan marah berganti bimbang kerana sehingga ke tengah malam, Fatin masih tidak pulang. Bagaimanapun dia enggan membuat laporan polis kerana kehilangan Fatin belum 24 jam. Rasa risau menjadi sesuatu yang amat menakutkannya apabila Daniel menerima panggilan telefon daripada Fatin yang mengatakan dirinya dirogol lelaki tidak dikenali.
     Akibat daripada itu, Fatin trauma. Daniel pula bingung. Dia marah tetapi dia tidak tahu siapa yang perlu dimarahi. Semenjak itulah Daniel tidak mahu menyentuh Fatin. Ini menyebabkan perkahwinan mereka semakin hambar. Secara tidak langsung, prestasi kerjanya menurun. Emosinya tidak stabil dan menjadi seorang yang pemarah. Fizikalnya pula jelas kelihatan semakin kurus dan cengkung. Dia dilihat seperti tiada motivasi hidup.
     Melihat lemahnya diri Daniel ketika itu membuatkan Kamariah mengambil kesempatan memburuk-burukkan lagi Fatin. Dikatakan kepada Daniel bahawa Fatin itu menjijikkan kerana dirogol dan tidak layak lagi menjadi isteri Daniel. Termakan hasutan ibunya hari demi hari, membuatkan Daniel termakan pujukan, lantas menceraikan Fatin.
     Penceraian itu memberi kesan yang lebih mendalam kepada Fatin. Tidak disangka mesej yang diberikan kepada Daniel setelah genap tiga bulan penceraian mereka merupakan mesej terakhir. Fatin mengambil jalan singkat di luar batasan agama kerana kekecewaan terhadap hidupnya.
     Daniel termangu dan merasakan bahawa dia begitu berdosa kerana tidak membantu memulihkan semangat Fatin, sebaliknya membiarkan wanita yang pernah menjadi teman sekatilnya itu hanyut dengan mainan perasaan. Semenjak itu, Daniel sentiasa menyalahkan dirinya, sehinggalah seorang sahabat mengajaknya kembali ke jalan Allah. Ilmu di dada perlu diisi. Pintu hatinya kini ditutup dan tidak mahu menerima wanita lain dalam hidupnya, biar ibunya sentiasa mendesak dengan memperkenalkan ramai wanita. Sesalannya masih belum berakhir.


Tuesday, March 18, 2014

Tanpa Restu Keluarga Sukar Bina Bahagia

   
     Benarlah kata orang, perkahwinan tanpa restu ibu bapa tidak bawa ke mana. Bahagia diharap tidak kunjung tiba akhirnya derita melanda. Itulah yang berlaku dalam rumah tangga Amir. Bahagia yang didamba tidak menjelma sebaliknya perkahwinan atas nama cinta itu hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Amir bingung memikirkan di mana silapnya, apakah tiada keberkatan kerana tiada restu orang tua?

     Amir memilih Suhana, janda anak empat sebagai suri hidupnya. Bukan kerana paras rupa yang membuat Amir tertarik tetapi sifat keibuan yang ditunjukkan oleh Suhana membuatkan Amir jatuh hati. Kata orang cinta itu buta, memang betullah ungkapan itu. demi cinta Amir sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bersama Suhana sehingga mengetepikan pandangan ibu bapa dan keluarga yang tidak merestui perkahwinan ini.
     Puas Amir memujuk ibu bapanya agar menerima Suhana sebagai menantu. Namun mereka tetap enggan. Amir mengambil keputusan tidak mahu mengalah. Dia tidak sesekali akan memutuskan hubungan dengan Suhana dan berjanji akan mengahwini wanita idamannya itu. Akhirnya Amir dan Suhana bernikah di Thailand untuk menghalalkan hubungan mereka.

Bahagia Cuma Seketika

     Rumah tangga Amir dengan Suhana sangat bahagia. Dia menganggap anak-anak tiri seperti anak sendiri. Amir sentiasa berusaha melengkapkan segala keperluan keluarga. Setelah perkahwinan mencecah usia setahun, ada riak-riak kecewa menyelubungi diri Amir. Belum ada tanda-tanda Amir akan dikurniakan zuriat darah dagingnya sendiri. Amir belajar bersabar dan pasrah, mungkin Allah S.W.T mahu menguji ketulusan kasih sayangnya terhadap anak-anak Suhana.
     Demi mahu melihat keluarganya terus bahagia, Amir meminta Suhana berhenti kerja. Dia yakin mampu menanggung keluarga dengan pendapatannya dan mahu Suhana memberi tumpuan penuh pada urusan anak-anak dan rumah tangga.
     Suhana menerima permintaan Amir kerana dia juga mahu buat yang terbaik untuk keluarga. Namun sebagai wanita yang pernah bergelar ibu tunggal dan pernah hidup berdikari, Suhana tidak betah duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa yang mendatangkan hasil. Memahami kehendak isteri, Amir mengizinkan Suhana bekerja dari rumah dengan membuka perniagaan secara online, malah dia sudi pula memberikan modal buat isteri tersayang.
     Nyata Suhana menggunakan kesempatan itu sebaiknya. Perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan sehingga kadang-kadang Suhana tidak punya banyak masa bersama anak-anak. Hujung minggu menjadi hari sibuk buatnya menguruskan pesanan pelanggan selain mengikuti pelbagai seminar perniagaan.
     Tidak mahu anak-anak rasa terabai dengan kesibukan ibu mereka, Amir mengambil alih tugas dengan melayan dan membawa anak-anak bersiar-siar. Kadang-kadang, tidur malam pun bersama anak-anak kerana Suhana sibuk dan keletihan. Amir sedaya upaya cuba memahami kesibukan isterinya yang menunjukkan kejayaan dalam bidang perniagaan onlinenya.
     Lain pula yang jadi kepada Suhana. Kebebasan dan kepercayaan yang diberikan Amir membuatkan dirinya lupa diri. Pergaulannya semakin luas hingga dia berpeluang berkenalan dengan ramai orang. Kesempatan ini digunakan oleh Suhana untuk membuka pintu hatinya menerima cinta daripada Azlan.
     Azlan jauh lebih muda daripada Suhana tetapi dia mengagumi isteri orang itu yang pandai berniaga. Suhana pula semakin alpa dan tertarik dengan kekacakan Azlan yang meminatinya. Akhirnya Suhana tewas dengan hasutan nafsu.

Tertangkap Ketika Berduaan

     Suatu hari Amir pulang awal kerana mahu memberi kejutan buat isterinya. Dia tahu anak-anak berada di sekolah dan Suhana tentu sibuk dengan uirusan tempahan pelanggan. Tetapi Amir tidak tahu sebenarnya pada hari itu juga Azlan berkunjung ke rumahnya untuk membantu Suhana menguruskan tempahan pelanggan. Mula-mula memang mereka sama-sama menguruskan kerja-kerja pembungkusan namun lama kelamaan mereka menguruskan satu sama lain.
     Dengan keadaan rumah yang sunyi sepi tanpa gangguan anak-anak, Suhana dan Azlan mengambil kesempatan itu untuk memadu asmara. Suhana langsung tidak menduga Amir akan pulang awal. Amir pula terkejut melihat ada kereta lain berada di laman. Perlahan-lahan dia masuk ke rumah dan mendapati Suhana tiada di ruang kerja.
     Hati Amir berdetik menuju ke bilik. Alangkah terkejutnya Amir menyaksikan sandiwara Suhana dan Azlan di rumahnya sendiri. Tanpa sedar, Amir meluru ke arah Azlan dan menghadiahkan tumbukan tepat di muka. Kemarahannya memuncak melihat Suhana dalam keadaan separuh tidak berbaju. Dengan kuasa yang ada padanya, Amir lantas menjatuhkan talak ke atas Suhana.
     Apa lagi yang dapat dikatakan oleh Amir. Rasa kecewa dan kesedihannya saling bertindih. Dia tidak tahu mengapa Suhana sanggup menikamnya dari belakang. Dia tidak tahu mengapa isteri yang dicintainya itu tega menduakan dirinya.
     Perlahan-lahan terbit rasa kesal di hati Amir. Barangkali inilah hukuman atas dirinya yang tidak mendengar nasihat ibu bapa. Hatinya telah dibutakan oleh cinta hingga dia tidak kenal mana kaca, mana permata.
     Akhirnya tinggallah Amir sendirian berkelana melayan cintanya yang hilang. Dia seakan-akan serik mendirikan rumah tangga walaupun dipujuk berkali-kali oleh ibu bapanya. Bagi Amir terlalu pahit untuk dia menelan semua penderitaan akibat dicurangi isteri sendiri.

Monday, December 30, 2013

Macam Ni Ceritanya Bang…

     Pagi-pagi lagi saya dah bangun. Betul saya tak tipu, ayam yang selalu tumpang tidur kat depan umah kita pun saya yang kejutkan. Memang saya dah plan baik, memang plan ni la yang paling terbaik sejak saya sekolah dulu. Kira kalau jadi plan saya ni kompom akan tercatat dalam buku rekod dunia la. Betul… saya tak tipu.

     Belum pun pukul 6 pagi saya dah standby depan rumah. Barang-barang semua dah siap, list, duit harian campur duit main kutu semua saya dah siapkan. Memang dah betul-betul nak pergi ni. Baru je kaki setapak melangkah saya dengar ada bunyi suara perempuan mintak tolong. “Tolong, tolong!” Sayup dan sayu bunyinya. Mula-mula seram jugak, lepas tu dah tak seram sebab suara tu datang dari Mak Kiah jiran belakang rumah. Umur dah nak masuk 64 tahun pun mengandung lagi. Haa, tu suara dia nak beranak la tu. Saya sebagai jiran dan pernah memasuki kelab rakan sebaya tiga tahun berturut-turut serta ahli jawatankuasa keceriaan persatuan pandu puteri sekolah merasakan amatlah tidak adil kalau saya tak tolong. Betul… saya tak tipu.

     Tanpa menoleh kebelakang dan memikirkan bebanan hutang, saya dengan selamba melantik diri saya menjadi bidan dalam acara membidankan Mak Kiah ni. Saya pun apalagi suruh la dia teran. Tolak, push… sebijik macam drama kat TV sambil menyanyi lagu ‘Kau Boleh’ sebagai pemberi semangat. Last-last selamba je dia lempang saya dengan alasan saya ni menyindir perut buncit dia. Ooo.. mana la saya tau perut dia buncit, ingatkan nak beranak tadi. Tapi saya pelikla apasal pulak dia menjerit pagi-pagi ni, rupa-rupanya masa syok makan lempeng dia tergigit lidah sendiri. Betul… saya tak tipu.

     Lepas kena lempang, dengan muka yang bengkak dan berbekalkan hati yang bengang saya tetap meneruskan niat ke destinasi yang nak dituju. Sekali lagi saya dikejutkan dengan insiden yang pelik, cuaca nan indah dan cerah diselang seli dengan kicauan burung-burung, diterangi sinar suria, ditambah dengan tiupan angin barat daya yang dingin berubah menjadi gelap dengan serta merta. Saya menjerit sekuat hati bila ingatkan saya dah buta tapi tiba-tiba ada sorang mamat tegur saya, “Tau la pakai spek hitam baru, tak payah la nak berlagak!” Laa… saya tak perasan pulak yang dari tadi saya pakai spek hitam. Betul… saya tak tipu.

     Saya pun terus berjalan dengan muka bersahaja sambil menyisipkan spek hitam di dada. Tiba-tiba saya tengok sekumpulan manusia bertempiaran lari. “Eh! Ada acara merentas desa ke pagi-pagi ni?” Saya pun tanpa segan silu join diorang lari. Lari punya lari, punya lari… tapi tak sampai-sampai jugak garisan penamatnya. Rupanya baru saya tau yang diorang ni lari dari hutang. Saya ni mana ada hutang, buat apa saya nak lari. Buat penat jela. Lepas tu, haa… ni yang seram. Saya nampak ada raksasa. Apa hal pulak menatang ni buat kat sini? Ke saya dah lari sampai Jepun? Konfius jugak saya orang keliling buat rilek je, siap lambai-lambai, jerit macam nampak Brad Pitt pulak. Berbekalkan semangat pahlawan yang tinggi saya berlari sambil menjerit dan berubah menjadi hero pujaan ramai Ultraman Taro tapi sayang, cota hikmat yang saya jumpa masa mengembara kat Jepun tu takde bateri… lupa nak cas. Takpe… saya akan cuba lawan jugak. Saya gigit kuku kaki kanan dia bagai nak rak, raksasa tu selamba je senyum kat saya. Lepas tu saya tengok ada kerusi terbang tepat kena kat kepala saya. “Cut!” Laa… diorang tengah shooting filem rupanya. Betul… saya tak tipu.

     Saya pun teruskan lagi perjalanan walaupun diejek dan dimalukan tapi demi tanggungjawab saya teruskan jugak. Ingat dah habis dah penyeksaan saya tapi rupa-rupanya ada lagi… lagi dahsyat. Saya nampak kereta, lori, kereta kebal, kapal terbang semua berubah jadi robot… besar tu. Semua benda boleh jadi robot, siap bergaduh lagi. Ada yang keluar api kat tangan, ada yang keluar bom, bangunan kiri kanan habis hancur. Ada 2 puak… yang baik heronya lori dan yang jahat jet. Perghh! Dahsyat tu diorang gaduh sampai meletup sini sana, kagum la saya tengok tapi tiba-tiba je…”Ni bukan wayang, nak tengok beli!” Laa… saya terlayan TV kat tepi jalan rupanya. Patut macam pernah tengok je cite tu. “Alamak!” Jerit saya bila lihat jam lagi 12 minit nak ke pukul 5. Berlari saya balik rumah sampai lupa nak beli apa-apa. Betul… saya tak tipu, macam tu la ceritanya bang.

     “Dah, dah… tak payah nak mengarut lagi. Bukan saya tak tau awak layan telenovela dari pagi sampai petang. Jangan katakan masak, pergi pasar pun tak, makan kat luar je la malam ni.” Ujar suamiku. Aku hanya mampu tersenyum riang menandakan taktik untuk menyelamatkan diri hari ni dah berjaya.

Friday, November 29, 2013

Asal Usul Durian Musang King

Maka tersebutlah satu kisah di mana tahunnya tersangatlah lama. Sebelum terciptanya calendar meja mahupun computer riba. Jika mahu di kira berapa kurun cerita ini diwariskan maka orang itu pasti akan menjadi gila. Tersebutnya kisah ini yang terletak tempatnya di dalam hutan yang terpencil, sama seperti akan tahunnya juga… tidak diketahui asal tempatnya.

     Di belakang sebuah pokok jati ada terkumpulnya semua binatang, dari pelusuk hutan keluarnya mereka. Yang di awan, di air dan di darat semuanya berkumpul seakan ada pesta yang akan diadakan. Bila dibelek satu persatu wajah mereka, semuanya masam mencuka dan bermuram durja. Entah apa sebabnya.

     “Dengar sini rakyat beta sekalian, hayat beta tidaklah lama. Telekan sang tabib hanya tinggal sepurnama cuma. Sebelum beta menghembuskan nafas yang terakhir, inginlah beta menyerahkan takhta beta ini kepada yang hak. Oleh kerana beta tidak mempunyai zuriat, maka dengan ini beta ingin mencari antara sesiapapun dikalangan kamu yang mampu menyahut cabaran beta ini akan beta tabalkan dia gelaran raja rimba yang baru.”

     Maka tercenganglah sekalian penghuni hutan. Ada yang berpandangan sesama sendiri ada pula yang tersenyum di dalam hati bila mendengar perkhabaran raja rimba yang mencari pewaris takhta yang baru.

     “Bersiaplah semuanya, dengan terbitnya fajar besok hari maka bermulalah cabaran untuk kamu semua.” Jerit sang singa dengan gagahnya. Maka bersurailah sekalian rakyat pulang ke kubu masing-masing.

     Duduknya di kubu masing-masing tidaklah hanya bersahaja menggoyangkan kaki. Yang darat dengan cara daratnya, yang di air dan di udara lazim dengan cara masing-masing. Semuanya tidak sabar menunggu terbitnya fajar. Ada yang mengasah taji, ada yang mengasah paruh, menajamkan gigi dan pelbagai cara lagi bagi memperkemaskan diri.

     Cuaca pada hari itu dikhabarkan sungguh tenang. Tiada sebarang angin dan tiada sebarang awan. Langit jingga surut bertukar warnanya menjadi biru air laut. Semua penghuni hutan sudah siap sedia untuk bertempur. Tiada sebarang teguran, tiada sebarang senyuman. Masing-masing mempertajamkan fikiran dan cuba untuk menidak rasa belas kasihan kepada lawan.

     “Dengar sini semua… seperti yang dijanjikan semalam, sesiapa yang menang dalam pertempuran ini dialah yang berhak memegang tampuk pemerintahan.” Jerit si raja. Maka terdengar gegak gempita seluruh rimba.

     “Sesiapa yang mampu membawakan aku durian yang jauhnya di atas pokok itu maka dialah yang menang.” Maka terkagumlah sebentar penghuni alam kerana mereka menyangka bahawa mereka perlu beradu kekuatan seperti tahun-tahun yang sudah. Ternyata anggapan mereka meleset.

     Sahibul bermulalah cabaran itu. Satu demi satu tumpas. Tingginya durian itu tidak dapat diukur dengan pita pengukur. Makin lama, makin ramai yang kecundang. Jauh di balik sebatang pokok terlihat musang yang mundar-mandir mencari arah. Sedang dia bermundar-mandir tiba-tiba…

     “Adoooiii!!” Jeritnya seraya melompat tinggi. Tinggi lompatannya terus meluru ke arah satu buah durian yang menjadi pertaruhan tersebut. Mereka yang lain melopong bila melihat si musang melompat tinggi seakan sedang terbang, lalu… “Kuk!” Kepalanya terhantuk akan buah itu dan jatuh terus ke tanah.

     Tanpa sebarang suara sebagai sorakan. Apa yang ada hanya suara mengaduh si musang yang tidak sedar yang kepalanya tercucuk durian.

     “Akhirnya kita dapat juga pewaris takhta yang baru… musang si raja rimba. Dengan lafaz one two three, beta isytihar raja baru… Musang King!” Laung sang singa. Si musang yang masih terpinga-pinga sedang berusaha menarik duri yang melekat di kakinya.

     Akhirnya durian yang terpacak di kepala musang telah berjaya di eksport ke serata dunia dan menjadi terkenal seperti filem Anna and The King.

Thursday, October 11, 2012

Perangai orang kaya

   Hai la orang kayeeee.. Allah bagi banyak pada korang tapi banyak jugak yang korang hilang. Kenape aku cakap camni?? Ramai jugak kawan & kenalan aku terdiri dari golongan kaya & mewah ni.. Tapi kebanyakannye tak pandai nak berdikari. Contohnye kalau mak bapak tak tolong tak kerja la dorang ni... Nak suruh dorang pegi cari keje sendiri memang tak lah.. Kalau tak keje dengan kenalan mak bapak mesti keje dekat syarikat kepunyaan mak bapak jugak..Yela kemane lagi kan nak diwariskan perniagaan tu kalau bukan dekat anak2 tapi biarlah dorang2 ni belajar berdikari dulu.. ni takkkk.. sume main suuuuaaappppp je.. Kate lah 1 day syarikat tu lingkup ke tak pon mak bapak dah meninggal.. macam mane anak2 yang dah biasa di 'suap' tu nak survive??
   Tu baru part nak cari keje.. Dah dapat keje nak kete pulak.. Kete tak nak yang biasa2... Nak imported n sporty je.. Pastu modified lagi.. Yela.. walaupon dah keje tapi banyak lagi yang mak bapak tanggung kan.. Rumah tak perlu risau.. tinggal dengan mak bapak.. Yang tinggal kat luar pun nak takut ape..? mak bapak yang bayar sewa atau loan kat bank kan.. Insurans & roadtax kete suruh je bahagian akaun syarikat mak bapak renew kan. Urghh lagi tak bole blah bila dah beli kete n rasa2 macam tak best je dan2 tu la jugak dia nak tukar kete lain.. Yela bukan dia rasa pon susah nak dapat duit tu.. Dia cuma pilih je mane dia suka.. Orang lain yang uruskan segala dokumen & duit deposit.. Lepas tu dia cuma kene sign je mane2 yang berkenaan. Senang kan..
   Dah dapat kete ni lah masanye untuk berfoya2 pulak.. Keluar masuk kelab.. Yang lelaki asyik bertukar perempuan..Yang perempuan asyik bertukar lelaki.. Duit sendiri banyak di habiskan untuk berhibur pulak.. Dah habis nanti mintak je la lagi.. Ape susah?? Siang lambat pegi keje pon takpe.. Company mak bapak kan.. Nanti tukang melingkupkan pon muka anak2 yang spoil brat ni la..
   Lepas tu tibalah masanye untuk berkahwin pulak.. Majlis nak yang grand2 je.. Yang ni memang patutla mak bapak yang kua duit.. Kot buat biasa2 je jatuhla reputasi dorang kan.. Nak harap duit anak2 yang tau menghabiskan duit dorang ni memang ko dapat yang biasa jela.. Tapi aku musykil la kenape barang2 macam doorgift & kad jemputan tu dihantar ke ofis plak..? Nak suruh staff buat keje yang sepatutnye family yang buat ke?? Aku tertanya2 jugak la macam mane ikatan kekeluargaan yang ade dalam family orang kaye ni??Tak ade kerjasama ke antara adik beradik & sedara mara?? Aku dulu nak kawen sume family & kawan2 rapat yang tolong. Staff memang la boleh tolong buat doorgift & tulis kad jemputan walaupon tak ade dalam job scope dorang tapi ingat orang luar tak mengata ke..? Lagi yang buat muka2 rajin ni sebenarnye sume kaki kipas bos & anak bos.. Yang bos2 & anak2 bos ni masa staff korang kawen ade tak korang datang tolong staff korang tu?? Memang haram tak ade.. Korang datang makan je kan..
   Percayalah bila tiba masanye mak bapak nak retired.. nak turunkan wasiat.. pasti akan ade perebutan kuasa & harta. Kalau anak tu di didik dengan baik pasti takkan ade masalah tapi kalau awal2 lagi semua dah diberi & dorang pon memang tak tau susah percaya lah walaupon mak bapak tengah sakit pon silap2 benda pertama yang dorang tanya ialah pasal harta bukan nak tanya keadaan kesihatan mak bapak tu baik ke buruk.. Agaknye dorang ni doa orang tua dorang mati cepat supaya dapat full authority pada semua harta & kuasa.
   Aku tak adelah mengata sume orang kaye tu perangai macam yang kat atas ni tapi majoriti memang macam ni.. Renung2 kan la kalau 1 hari kite2 yang kurang kaya ni jadik kaya adekah perangai kite macam orang2 kaye kat atas ni?? Sekarang memang kita tak boleh nak jawab.. Sekarang kita jawab tak tapi perangai berlagak & lupa diri ni akan datang sendiri. Aku memang respect habisla dekat orang kaye yang bermula dengan hidup susah dan kemudian berjaya.. Lagi bertambah respect kalau dorang ni didik anak dorang untuk berusaha kalau nak kan sesuatu.. Triple respect kalau dorang ni jenis down to earth.. Betul atau tak ape yang aku kate ni?? ;)

Monday, October 8, 2012

8/10 Birthday arwah mama

   Pagi ni aku terasa sangat sebak tatkala membaca sms dari kakakku.. Katanye dia terpaksa amik EL sebab tak boleh nak tahan sedih pagi2 ni so dia nak pergi bersihkan kubur arwah mama.. Kakak aku ni dia tinggal kat Shah Alam & sanggup turun ke Datuk Keramat yang memang terkenal sangat jem pada waktu pagi hanya semata2 ingin menziarahi kubur mama. Aku pon sudah pasti kalau boleh ingin menziarahi kubur mama selepas waktu bekerja nanti..Yela orang jauh pon dah sampai takkan la orang yang dekat2 ni tak pergi pulak kan..Ofis aku kat Setiawangsa je..tak sampai 10 minit dah sampai Datuk Keramat.
   Kisahnye kenapa hari ni jadik terlebih syahdu kerana 8/10 adelah hari lahir arwah mama kesayangan kami adik beradik. Beliau baru meninggal pada bulan 12 tahun lepas. Jadik semua yang kami semua harungi tahun ni adelah 1st time kami tanpa mama kami..Namun begitu hari ni 8/10 sudah pasti tidak akan berlalu dengan sia2..Pada hari Sabtu yang lepas kami telah membuat tahlil arwah yang hanya dihadiri oleh anak2 dan juga orang surau. Walaupon ringkas tapi sangat bermakna pada kami.
   Oleh kerana aku terikat dengan kerja di ofis jadik aku memang tak dapat ziarah kubur mama pagi2.. Ape yang aku mampu buat duduk kat tempat aku dan sedekahkan al-fatihah buat arwah. Kemudian on Fesbuk letak kat status mintak sape2 yang baca post tu dapat sedekahkan al-fatihah juga buat arwah.. Semoga semua yang prihatin tu dibalas dengan pahala dan dipermudahkan segala urusan mereka hari ni..AMIN~

Friday, October 5, 2012

Penulis Baru ;)

   Aku adalah penulis baru dalam bidang blogger. Selama ni aku hanya menjadi 'silent reader' pada blog2 yang lain.. Kali terakhir aku menulis secara serius ketika aku sekolah menengah kerana ketika tu ade subjek khusus penulisan atau untuk subjek English 'essay'..
   Setelah sekian lama aku meninggalkan alam persekolahan kini minat pada dunia penulisan tercetus kembali apabila bertemu dengan suamiku yang juga seorang blogger yang sudah berkecimpung selama 5 tahun dalam bidang ini. Dia la yang membawa aku kembali kepada minat aku yang dulunye suka membaca & menulis. Dia la jugak yang banyak mengajar & menyokong aku dari segala aspek.. Kerana minat dia pada pembacaan & penulisan, dia kini ibarat 'kamus bergerak' untuk aku.. Tanya je ape2 pada dia kompom dia tau..Amat jarang nak dengar dia cakap dia tak tau.. The best thing is bila tanya ape2 waktu dia tido pon dia bole jawab walaupun jawapan dia tak berapa memuaskan..yela what do u expect kan..?? orang tu baru bangun tido..still terpinga2 lagi..dah kira untungla dia jawab jugak kan..haha~
   Enough talking about him.. Sekarang aku kena banyak membaca untuk kukuhkan tatabahasa, tambah vocabulary & betulkan mane2 grammar.. Satu benda yang dah lame aku tak buat.. Rasa tepu otak ni bila takde benda2 baru yang masuk. Harap2 penulisan di blog ni dapat membantu otak aku mengasah balik segala bakat & memori yang terpendam dulu.. Thanx to my asbento (panggilan manja untuk suami terchenta ku) haha.. Kalau bukan kerana dia aku tak rasa aku akan menulis balik..yela nk buat note sikit2 tu pon aku malas dah sekarang apatah lagi nk wat karangan panjang2 ni.. Insyaallah aku akan cuba untuk merajinkan diri update blog ni hari2 ;)

LinkWithin

LinkWithin