Wednesday, March 12, 2014

Lembaga Bergayut Di Kaki Anak

     Seperti biasa setiap petang Suria akan membawa anak-anaknya bermain-main di taman permainan berdekatan dengan rumah mereka. Suria sekeluarga baru sebulan berpindah ke situ kerana mengikuti suaminya yang bekerja di kawasan berhampiran.
     Kawasan perumahan itu, di kelilingi hutan dan bukit bukau. Udaranya masih segar dan hutan yang ada di sekeliling memang menggamit kedamaian. Walaupun berdekatan dengan bandar, namun kawasan elit memang sengaja dibina dengan ciri-ciri alam semula jadinya. Bunyi unggas yang mengasyikkan menggantikan hiruk pikuk kenderaan yang lalu lalang.
     Suria seorang suri rumah manakala suaminya seorang yang berjawatan tinggi dalam syarikat. Rumah yang didudukinya itu juga adalah pemberian syarikat. Prasarana yang ada di kawasan perumahan elit itu semuanya ada seperti taman permainan kanak-kanak, gimnasium, gelanggang tenis serta kolam renang. Namun tempat yang paling disukai oleh anak-anak Suria sudah tentunya di taman permainan yang terletak betul-betul di tepi hutan. Sungguhpun begitu, tempat itu selamat kerana ada pagar tinggi yang memisahkan antara kawasan perumahan dan hutan.
     Suria juga bersyukur kerana jiran tetangganya adalah sebangsa dan seagama dengannya. Ketika mula-mula berkenalan, jirannya ada menasihati supaya tidak terlalu lama bermain di taman permainan kerana kawasan itu agak 'keras'. Namun bagi Suria masing-masing ada kepercayaannya sendiri. Dia bukanlah tidak mempercayai hal-hal mistik ini tetapi disebabkan dia anak kota, agak sukar dia menerima hal tersebut. Baginya, selagi dia tidak menggangu hal orang lain, dia juga berharap sebaliknya.

Berjalan terhincut-hincut

     Satu hari, seperti biasa dia membawa anak-anaknya bermain di taman permainan. Sambil melihat anaknya bermain, dia mengambil kesempatan untuk bersenam. Dia lengkap berpakaian senaman dan berlari-lari anak di sekeliling taman. Matanya tidak pernah leka daripada mengawasi anak-anaknya.
     Oleh kerana terlalu asyik dan anak-anaknya pula masih belum puas bermain, mereka anak beranak berada di situ hingga senja. Ketika salah seorang anaknya sedang leka bermain, tiba-tiba anaknya itu menjerit. Anaknya itu mengalami luka kecil di lutut gara-gara terjatuh dari buaian. Apabila ditanya bagaimana dia boleh jatuh, anaknya itu mendakwa ada seorang budak kecil tidak dikenali menolaknya. Hairannya ketika itu hanya mereka empat beranak ada di situ.
     Memandangkan hari sudah hampir Maghrib, Suria membawa anaknya itu pulang. Sampai di rumah, anaknya yang jatuh itu kelihatan pucat. Sebentar kemudian, suami Suria tiba di rumah lalu diadukan tentang hal itu. Anaknya makin pucat dan seakan-akan ketakutan. Dia selalu menuding jarinya ke arah luar ke taman permainan.
     Ketika itu, Suria teringatkan kata-kata jirannya tentang taman permainan tersebut. Dia lantas ke rumah sebelah dan menceritakan apa yang telah terjadi. Jirannya itu mencadangkan supaya membawa anaknya itu berjumpa dengan Wak Semat yang tinggal di perumahan sebelah. Dia yang juga seorang tukang urut arif tentang hal-hal mistik. Tambah jirannya itu lagi, anak bongsunya pernah mengalami kejadian yang sama dan setelah berubat dengan orang yang sama anaknya terus beransur pulih.
   
     Malam itu juga Suria, suami dan jirannya itu pergi ke rumah Wak Semat. Setelah diberitahu tujuan kedatangan mereka, Wak Semat mula mengasap kemenyan. Menurut Wak Semat, anak Suria telah diganggu oleh lembaga yang menghuni di kawasan hutan berhampiran. Malah, lembaga tersebut juga mengikut pulang ke rumah dengan bergayut di kaki anaknya. Patutlah ketika pulang ke rumah, Suria melihat anaknya itu jalan terhincut-hincut. Sangkaan Suria, disebabkan lututnya yang cedera, anaknya berjalan sebegitu rupa.
     Setelah diubati dan diberi air penawar, lama-kelamaan anak Suria kembali pulih dan kakinya sudah tidak sakit lagi. Dia juga tidak lagi meracau. Sejak kejadian itu, Suria tidak berani lagi membawa anak-anak bermain di taman permainan tersebut. Malah, sejak kejadian itu, Suria mula mempercayai hal-hal mistik. Dia sedar, selain manusia, ada lagi makhluk-makhluk Allah yang tinggal di bumi yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata manusia.

Wednesday, March 5, 2014

Cahaya Putih Muncul Di Hujung Kaki Arwah Atuk

     Hari Khamis, malam Jumaat, ruang tamu rumah atuk sudah dipenuhi saudara mara dan jiran tetangga. Saya yang baru tiba dari Kuala Lumpur terus melangkah masuk ke dalam rumah.
     Di dalam, suara orang ramai mengalunkan surah Yasin, bergema di setiap penjuru rumah. Sambil itu, ada yang menangis dan ada yang bermuka muram. Semuanya sedang bersedih meratapi pemergian atuk.
     Di atas katil yang diletakkan di ruang tamu, kelihatan kain putih nipis melitupi jenazah atuk yang sedang terbaring kaku. Atuk meninggal pada pukul 8.33 malam itu, ketika berusia 83 tahun. Atuk meninggal akibat komplikasi jantung.
     Sebelum itu, ketika mak menghubungi saya memberitahu, atuk meninggal dalam keadaan yang sangat tenang dan mudah. Atuk meninggal di atas pangkuannya sebaik saja selesai azan Isyak di masjid berdekatan.
     Sebenarnya, sebelah petangnya itu, atuk baru saja di bawa pulang ke rumah dari hospital. Melihat keadaan atuk semakin tenat, doktor mengesyorkan atuk dibawa balik saja. Dan sebelah malamnya, atuk meninggal dunia.
     Tanpa berlengah, saya hampiri jenazah atuk. Di sebelah arwah, mak sedang membaca surah Yasin. Kemudian, kain yang melitupi muka atuk saya selak perlahan-lahan.
     Sebaik muka atuk terpampang, saya tergamam. Saya juga hampir melompat. Ibu yang duduk di sisi atuk mencebik muka dengan sikap saya.
     Waktu itu, secara spontan terlintas perkataan yang agak kurang ajar dalam hati saya. "Ini ketua penyamun bujang lapuk. Tapi mati dalam iman," kata hati saya.
     Perkataan begitu terlintas dalam hati dan saya terkejut bukan sebab takut tengok wajah arwah. Bukan juga saya nak kata arwah ni jahat semasa hayatnya.
     Tapi sebab saya pelik. Sebagai cucu, saya kenal sangat dengan arwah. Atuk saya ini, wajahnya garang dan bengis. Mukanya sentiasa serius. Maklumla bekas sarjan tentera. Kalau nak tengok muka atuk tersenyum atau ketawa memang susah.
     Tapi, malam itu wajah atuk berlainan benar. Wajah atuk begitu tenang. Muka atuk berseri-seri dan bersih. Di hujung bibir arwah ada rongga dan membuatkan arwah seolah-olah sedang tersenyum.
     Manis sangat! Rasanya itulah pertama kali saya lihat wajah atuk sebegitu rupa. Selepas itu, saya membongkok dan mencium dahi atuk untuk kali terakhir.
     Sebaik hidung mencecah dahi, sekali lagi saya terkejut. Bau wangi mencucuk hidung saya. Wanginya pula sukar nak saya gambarkan. Wangian itu datangnya dari jenazah atuk.
     Kemudian saya tanya pada mak, ada mandikan atau letak minyak wangi pada arwah? Tapi mak menafikannya. Kata mak, mereka tak buat apa-apa lagi pada arwah kecuali menukar baju selepas atuk meninggal dunia.
     Kalau begitu, bagaimana jasad atuk berbau wangi? Waktu itu, saya terfikir mungkin apa yang saya lihat dan rasakan ini adalah bahagian teristimewa untuk arwah atuk.
     Tambahan pula, atuk meninggal malam Jumaat. Saya pernah dengar ustaz bercerita, kalau seseorang meninggal dunia hari Jumaat seseorang itu akan terlepas dari seksaan kubur.
     Saya juga pernah terbaca satu hadis yang lebih kurang begini maksudnya: "Tiadalah seorang Islam yang meninggal dunia di hari atau malam Jumaat melainkan Allah memeliharanya daripada fitnah kubur."
     Dan apa yang saya fikirkan itu mungkin ada benarnya. Sebab bukan saya saja yang lihat dan rasa keistimewaan itu. Begini, esoknya pada hari pengebumian di Kampung Baru Si Rusa, Negeri Sembilan, berlaku lagi kejadian yang saya kira sangat istimewa.
     Perkara ini bukan saya alami tapi individu lain. Selepas selesai pengebumian atuk, kami semua pulang ke rumah. Di rumah, seluruh keluarga berkumpul termasuk isteri kedua atuk iaitu nenek tiri saya, anak-anak serta cucunya.
     Ketika berkumpul itu, mak membuka cerita. Kata mak, ketika jenazah atuk hendak dikebumikan, dia rasakan sesuatu yang pelik.
     Waktu itu, mak bersama nenek tiri sedang berdiri paling hadapan, menghadap ke liang lahad. Saya pula berdiri di hujung liang lahad sebelah kaki.
     Sebaik jasad atuk diturunkan dan disambut tiga orang adiknya, mak dapat rasakan ada angin yang begitu sejuk dan nyaman bertiup dari dalam liang lahad.
     Mak terasa seolah-olah dia berada di dalam penghawa dingin. Mak perhatikan sekeliling, tengok ada tak pokok bergoyang. Tapi tak ada pula tanda-tanda angin bertiup.
     Lalu mak tanya pada ibu tiri, apa yang dia rasa itu. Rupanya bukan mak seorang saja, malah nenek tiri juga turut terasa ada angin sejuk bertiup dari dalam liang lahad arwah suaminya itu.
     Malah kebanyakan yang berdiri menghadap liang lahad boleh rasa angin sejuk tersebut. Mereka terasa begitu nyaman dan segar.
     Bila dengar cerita mak, terkejut juga saya dibuatnya. Bagaimana boleh ada angin dari dalam lubang kubur? Lainlah kalau ketika itu kita berada di kawasan terbuka atau lapang. Ini tidak, angin keluar dari lubang kubur. Kubur atuk seolah-olah didinginkan.
     Selepas mak cerita pengalamannya, nenek tiri beritahu dia juga ada lihat perkara aneh ketika jenazah atuk hendak di kebumikan. Ketika jenazah atuk dalam liang lahad dan anak-anak tirinya sedang membetulkan kedudukan arwah, nenek terpandang satu cahaya putih terang. Bila nenek perhatikan, rupa-rupanya cahaya itu datang dari kaki jenazah atuk yang sedang berbungkus itu. Cahaya itu terang, bersinar-sinar dan berwarna putih.
     Apakah cahaya yang nenek lihat itu, tidak pula nenek tahu. Dan cahaya itu juga hanya nenek tiri seorang saja yang ternampak.
     Sebenarnya, semasa jenazah atuk di masukkan, masih ada ruang hampir setengah kaki di bahagian hujung kepala dan kaki arwah. Semua orang boleh melihatnya. Sebagai orang kampung di situ, saya kenal penggali kubur tersebut. Saya tahu bagaimana kerjanya menggali kubur. Kerjanya memang kemas. Jarang dia buat silap. Ukuran jenazah dengan lubang kubur biasanya elok-elok saja. Tak pernah terkurang atau terlebih. Tapi hari itu, kubur atuk begitu luas.
     Jadi bagi saya, setelah mendengar pelbagai cerita dan melihat sendiri pelbagai kejadian pelik tentang atuk, saya berasa ini mungkin anugerah Allah untuk arwah. Tapi bagaimana atuk boleh dapat keistimewaan begini?
     Bila difikir-fikirkan baru saya sedar. Bukan niat hendak memuji atuk sendiri, tapi inilah hakikatnya. Atuk memang baik dengan kami sebagai anak yatim.
     Selepas ayah saya meninggal pada tahun 1984, atuklah tempat kami bergantung nasib. Arwah begitu ambil berat tentang kami sekeluarga. Setiap hari arwah datang bertanya khabar, hantar makanan dan bagi duit belanja. Atuk langsung tak berkira soal duit dan kebajikan kami.
     Setiap hari, selepas Subuh pula, arwah akan datang ambil mak di rumah sebelum menghantar ke warung tempat berniaga. Waktu balik arwah akan datang jemput. Begitulah sikap arwah atuk sampailah beliau meninggal dunia.
     Adik bongsu saya juga mendapat kasih sayang dari arwah. Sebab ketika ayah meninggal, adik baru berusia enam bulan. Atuklah ganti arwah ayah tempat adik bermanja dan berkasih. Secara tidak langsung arwah membela kami empat beradik anak yatim.
     Kalau hendak bercerita kasih arwah pada anak-anak yatim memang banyak. Contohnya, selepas bercerai dengan isteri pertama, arwah berkahwin dengan janda anak tujuh. Kalau ikutkan logik, lelaki kalau nak kahwin lain mestilah cari isteri muda atau cantik. Tapi arwah atuk tidak begitu. Arwah pilih berkahwin dengan janda anak tujuh. Atuk buat begitu sebab hendak bela dan jaga anak-anak janda itu. Malah selepas bercerai dengan isteri pertama, arwah tak pernah abaikan nafkah dan tanggungjawab pada anak dan isteri walaupun mereka sudah besar dan berkeluarga.
     Kalau bab didikan agama pula arwah memang tegas. Pernah adik mak saya ditendangnya sebab enggan bangun solat Subuh.
     Lagipun saya pernah terbaca hadis Rasulullah yang lebih kurang begini maksudnya: "Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah s.w.t akan memasukkan ke dalam syurga, kecuali dia melakukan dosa yang tidak boleh diampunkan."
     Mungkin atas sebab-sebab itulah, arwah atuk mendapat keistimewaan sebagaimana yang telah saya saksikan itu. Akhir sekali, tujuan saya bercerita kisah ini bukanlah untuk berbangga atau memuji atuk sendiri, tapi sekadar sebagai iktibar dan berkongsi pengalaman, agar kita dapat memperbaiki diri masing-masing. Wallahuaklam.

     Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah s.w.t, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya." (Hadis Riwayat Ahmad)


   *Ruzaidi Ariffin Rosdi & Mastika

Thursday, February 27, 2014

Kisah Seorang Anak Derhaka Hadapi Sakaratul Maut

Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya. Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.

“Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni,” kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai. Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
“Apa sakitnya ni?” tanya saya. “Entahlah ustaz, doktor pun tak tau.” Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.
“Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya.” Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya? “Panggil ibunya segera,” kata saya. Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
“Kenapa ni?” tanya saya. Dengan perlahan abang Jalal bersuara, “Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas.” “Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat membantu,” kata saya berterus terang.

Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu in syaa Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal. ”Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku.” “Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami,” jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya.

Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak disyarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah.
Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

“Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga,” katanya kasar. “Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu,” jawab si ibu. “Ahhh, saya tak kira.” “Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang,” jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan.

Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya.

Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
“Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain,” kata saya. Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan. “Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah.”

Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan ‘ke situ’? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa ‘ke situ’ dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan.Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, “Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, in shaa Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak…” Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.

Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering. “Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak,” kata si abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka.
Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas ‘rentapan’ itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.

Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.

Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak.

Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul, tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya.

Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.

Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham. “Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz.” “Apa masalahnya itu?” tanya saya. “Kubur adik saya berlubang ustaz.” Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.

“Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, in shaa Allah, tak berlubang lagi,” kata saya. Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
“Begini sajalah,” kata saya. “Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali.”

Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.

Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah. Amin.

LinkWithin

LinkWithin