Kawasan perumahan itu, di kelilingi hutan dan bukit bukau. Udaranya masih segar dan hutan yang ada di sekeliling memang menggamit kedamaian. Walaupun berdekatan dengan bandar, namun kawasan elit memang sengaja dibina dengan ciri-ciri alam semula jadinya. Bunyi unggas yang mengasyikkan menggantikan hiruk pikuk kenderaan yang lalu lalang.
Suria seorang suri rumah manakala suaminya seorang yang berjawatan tinggi dalam syarikat. Rumah yang didudukinya itu juga adalah pemberian syarikat. Prasarana yang ada di kawasan perumahan elit itu semuanya ada seperti taman permainan kanak-kanak, gimnasium, gelanggang tenis serta kolam renang. Namun tempat yang paling disukai oleh anak-anak Suria sudah tentunya di taman permainan yang terletak betul-betul di tepi hutan. Sungguhpun begitu, tempat itu selamat kerana ada pagar tinggi yang memisahkan antara kawasan perumahan dan hutan.
Suria juga bersyukur kerana jiran tetangganya adalah sebangsa dan seagama dengannya. Ketika mula-mula berkenalan, jirannya ada menasihati supaya tidak terlalu lama bermain di taman permainan kerana kawasan itu agak 'keras'. Namun bagi Suria masing-masing ada kepercayaannya sendiri. Dia bukanlah tidak mempercayai hal-hal mistik ini tetapi disebabkan dia anak kota, agak sukar dia menerima hal tersebut. Baginya, selagi dia tidak menggangu hal orang lain, dia juga berharap sebaliknya.
Berjalan terhincut-hincut
Satu hari, seperti biasa dia membawa anak-anaknya bermain di taman permainan. Sambil melihat anaknya bermain, dia mengambil kesempatan untuk bersenam. Dia lengkap berpakaian senaman dan berlari-lari anak di sekeliling taman. Matanya tidak pernah leka daripada mengawasi anak-anaknya.
Oleh kerana terlalu asyik dan anak-anaknya pula masih belum puas bermain, mereka anak beranak berada di situ hingga senja. Ketika salah seorang anaknya sedang leka bermain, tiba-tiba anaknya itu menjerit. Anaknya itu mengalami luka kecil di lutut gara-gara terjatuh dari buaian. Apabila ditanya bagaimana dia boleh jatuh, anaknya itu mendakwa ada seorang budak kecil tidak dikenali menolaknya. Hairannya ketika itu hanya mereka empat beranak ada di situ.
Memandangkan hari sudah hampir Maghrib, Suria membawa anaknya itu pulang. Sampai di rumah, anaknya yang jatuh itu kelihatan pucat. Sebentar kemudian, suami Suria tiba di rumah lalu diadukan tentang hal itu. Anaknya makin pucat dan seakan-akan ketakutan. Dia selalu menuding jarinya ke arah luar ke taman permainan.
Ketika itu, Suria teringatkan kata-kata jirannya tentang taman permainan tersebut. Dia lantas ke rumah sebelah dan menceritakan apa yang telah terjadi. Jirannya itu mencadangkan supaya membawa anaknya itu berjumpa dengan Wak Semat yang tinggal di perumahan sebelah. Dia yang juga seorang tukang urut arif tentang hal-hal mistik. Tambah jirannya itu lagi, anak bongsunya pernah mengalami kejadian yang sama dan setelah berubat dengan orang yang sama anaknya terus beransur pulih.
Malam itu juga Suria, suami dan jirannya itu pergi ke rumah Wak Semat. Setelah diberitahu tujuan kedatangan mereka, Wak Semat mula mengasap kemenyan. Menurut Wak Semat, anak Suria telah diganggu oleh lembaga yang menghuni di kawasan hutan berhampiran. Malah, lembaga tersebut juga mengikut pulang ke rumah dengan bergayut di kaki anaknya. Patutlah ketika pulang ke rumah, Suria melihat anaknya itu jalan terhincut-hincut. Sangkaan Suria, disebabkan lututnya yang cedera, anaknya berjalan sebegitu rupa.
Setelah diubati dan diberi air penawar, lama-kelamaan anak Suria kembali pulih dan kakinya sudah tidak sakit lagi. Dia juga tidak lagi meracau. Sejak kejadian itu, Suria tidak berani lagi membawa anak-anak bermain di taman permainan tersebut. Malah, sejak kejadian itu, Suria mula mempercayai hal-hal mistik. Dia sedar, selain manusia, ada lagi makhluk-makhluk Allah yang tinggal di bumi yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata manusia.
No comments:
Post a Comment