Wednesday, March 19, 2014

Talak Gugur Kerana Termakan Hasutan

     Daniel, lelaki yang hadir dengan pakej lengkap. Punya penampilan menarik, wajah kacak, berbudi bahasa dan sebagai pelengkap, kerjaya sebagai juruterbang menarik minat ramai wanita untuk cuba mendampinginya.
     Namun hati Daniel terpikat pada seorang pramugari bernama Fatin. Kerap ditugaskan bersama menghadirkan kemesraan antara mereka. Setelah selesa beberapa tahun sebagai sahabat, Fatin menerima Daniel sebagai cinta hatinya. Kemudian mereka berhasrat membawa hubungan kepada ikatan yang lebih serius.
     Bagaimanapun hubungan mereka ditentang oleh ibu Daniel. Kamariah enggan menerima pramugari sebagai menantu. Puas Daniel memujuk ibunya agar menerima Fatin tetapi Kamariah tetap dengan keputusannya. Namun bapa Daniel tidak sekali membantah kerana baginya sebagai lelaki, anaknya itu berhak membuat keputusan sendiri. Setelah memberi restu, Daniel nekad dengan keputusannya mengahwini Fatin. Tidak ada cacat celanya wanita itu dimatanya.
     Walaupun majlis pernikahan Daniel tidak dihadiri oleh keluarganya, dia tetap gembira. Bukan dia mahu membelakangkan orang tua tetapi dia berharap tindakannya ini akan menyedarkan ibunya bahawa anak-anaknya perlu mempunyai kehidupan tanpa dipengaruhi sesiapa. Daniel jelak dengan sikap ibunya yang telah mengatur empat perkahwinan abang-abangnya yang mana kebanyakannya berakhir dengan penceraian.
     Setelah berkahwin, Daniel meminta Fatin menamatkan perkhidmatannya. Fatin lantas bersetuju namun dia meminta keizinan suaminya itu untuk menyambung pelajaran. Beranggapan isterinya akan kebosanan, Daniel memberi kebenaran.
     Mendengarkan cerita mengenai kehidupan baru Daniel membuatkan Kamariah 'tidak puas hati'. Bagi Daniel pula, perkahwinannya dengan Fatin tambah bermakna apabila Fatin mengubah penampilannya. Fatin mula mengenakan hijab, malah mengawal pergaulannya dengan lelaki. Tentunya sebagai suami, Daniel bersyukur dengan perubahan tersebut dan menambah lagi rasa sayangnya kepada isterinya itu.
     Dalam pada itu, hubungan Daniel dengan ibunya masih lagi dingin. Puas dihubungi ibunya namun Kamariah enggan bercakap dengannya. Tidak cukup dengan itu, dibawa Fatin bertemu ibunya tetapi penampilan baru Fatin masih tidak dapat menyejukkan hati mentuanya itu.

Jijik Dengan Isteri

     Melihat kebahagiaan Daniel, menambah rasa geram di hati Kamariah. Dia tetap tidak senang dengan menantunya itu lantas merancang sesuatu. Diupahnya seorang pelajar lelaki yang merupakan rakan sekursus Fatin. Dia membenarkan apa sahaja cara, asalkan Fatin tak bersama Daniel lagi.
     Sehingga pada suatu hari, Daniel puas menunggu Fatin. Sepatutnya mereka mempunyai temu janji makan tengah hari bersama sempena kenaikan pangkat Daniel tetapi Fatin tak juga muncul. Telefon pula tidak berjawab, membuatkan Daniel berasa kecewa dan berang.
     Namun perasaan marah berganti bimbang kerana sehingga ke tengah malam, Fatin masih tidak pulang. Bagaimanapun dia enggan membuat laporan polis kerana kehilangan Fatin belum 24 jam. Rasa risau menjadi sesuatu yang amat menakutkannya apabila Daniel menerima panggilan telefon daripada Fatin yang mengatakan dirinya dirogol lelaki tidak dikenali.
     Akibat daripada itu, Fatin trauma. Daniel pula bingung. Dia marah tetapi dia tidak tahu siapa yang perlu dimarahi. Semenjak itulah Daniel tidak mahu menyentuh Fatin. Ini menyebabkan perkahwinan mereka semakin hambar. Secara tidak langsung, prestasi kerjanya menurun. Emosinya tidak stabil dan menjadi seorang yang pemarah. Fizikalnya pula jelas kelihatan semakin kurus dan cengkung. Dia dilihat seperti tiada motivasi hidup.
     Melihat lemahnya diri Daniel ketika itu membuatkan Kamariah mengambil kesempatan memburuk-burukkan lagi Fatin. Dikatakan kepada Daniel bahawa Fatin itu menjijikkan kerana dirogol dan tidak layak lagi menjadi isteri Daniel. Termakan hasutan ibunya hari demi hari, membuatkan Daniel termakan pujukan, lantas menceraikan Fatin.
     Penceraian itu memberi kesan yang lebih mendalam kepada Fatin. Tidak disangka mesej yang diberikan kepada Daniel setelah genap tiga bulan penceraian mereka merupakan mesej terakhir. Fatin mengambil jalan singkat di luar batasan agama kerana kekecewaan terhadap hidupnya.
     Daniel termangu dan merasakan bahawa dia begitu berdosa kerana tidak membantu memulihkan semangat Fatin, sebaliknya membiarkan wanita yang pernah menjadi teman sekatilnya itu hanyut dengan mainan perasaan. Semenjak itu, Daniel sentiasa menyalahkan dirinya, sehinggalah seorang sahabat mengajaknya kembali ke jalan Allah. Ilmu di dada perlu diisi. Pintu hatinya kini ditutup dan tidak mahu menerima wanita lain dalam hidupnya, biar ibunya sentiasa mendesak dengan memperkenalkan ramai wanita. Sesalannya masih belum berakhir.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin