Friday, November 29, 2013

Asal Usul Durian Musang King

Maka tersebutlah satu kisah di mana tahunnya tersangatlah lama. Sebelum terciptanya calendar meja mahupun computer riba. Jika mahu di kira berapa kurun cerita ini diwariskan maka orang itu pasti akan menjadi gila. Tersebutnya kisah ini yang terletak tempatnya di dalam hutan yang terpencil, sama seperti akan tahunnya juga… tidak diketahui asal tempatnya.

     Di belakang sebuah pokok jati ada terkumpulnya semua binatang, dari pelusuk hutan keluarnya mereka. Yang di awan, di air dan di darat semuanya berkumpul seakan ada pesta yang akan diadakan. Bila dibelek satu persatu wajah mereka, semuanya masam mencuka dan bermuram durja. Entah apa sebabnya.

     “Dengar sini rakyat beta sekalian, hayat beta tidaklah lama. Telekan sang tabib hanya tinggal sepurnama cuma. Sebelum beta menghembuskan nafas yang terakhir, inginlah beta menyerahkan takhta beta ini kepada yang hak. Oleh kerana beta tidak mempunyai zuriat, maka dengan ini beta ingin mencari antara sesiapapun dikalangan kamu yang mampu menyahut cabaran beta ini akan beta tabalkan dia gelaran raja rimba yang baru.”

     Maka tercenganglah sekalian penghuni hutan. Ada yang berpandangan sesama sendiri ada pula yang tersenyum di dalam hati bila mendengar perkhabaran raja rimba yang mencari pewaris takhta yang baru.

     “Bersiaplah semuanya, dengan terbitnya fajar besok hari maka bermulalah cabaran untuk kamu semua.” Jerit sang singa dengan gagahnya. Maka bersurailah sekalian rakyat pulang ke kubu masing-masing.

     Duduknya di kubu masing-masing tidaklah hanya bersahaja menggoyangkan kaki. Yang darat dengan cara daratnya, yang di air dan di udara lazim dengan cara masing-masing. Semuanya tidak sabar menunggu terbitnya fajar. Ada yang mengasah taji, ada yang mengasah paruh, menajamkan gigi dan pelbagai cara lagi bagi memperkemaskan diri.

     Cuaca pada hari itu dikhabarkan sungguh tenang. Tiada sebarang angin dan tiada sebarang awan. Langit jingga surut bertukar warnanya menjadi biru air laut. Semua penghuni hutan sudah siap sedia untuk bertempur. Tiada sebarang teguran, tiada sebarang senyuman. Masing-masing mempertajamkan fikiran dan cuba untuk menidak rasa belas kasihan kepada lawan.

     “Dengar sini semua… seperti yang dijanjikan semalam, sesiapa yang menang dalam pertempuran ini dialah yang berhak memegang tampuk pemerintahan.” Jerit si raja. Maka terdengar gegak gempita seluruh rimba.

     “Sesiapa yang mampu membawakan aku durian yang jauhnya di atas pokok itu maka dialah yang menang.” Maka terkagumlah sebentar penghuni alam kerana mereka menyangka bahawa mereka perlu beradu kekuatan seperti tahun-tahun yang sudah. Ternyata anggapan mereka meleset.

     Sahibul bermulalah cabaran itu. Satu demi satu tumpas. Tingginya durian itu tidak dapat diukur dengan pita pengukur. Makin lama, makin ramai yang kecundang. Jauh di balik sebatang pokok terlihat musang yang mundar-mandir mencari arah. Sedang dia bermundar-mandir tiba-tiba…

     “Adoooiii!!” Jeritnya seraya melompat tinggi. Tinggi lompatannya terus meluru ke arah satu buah durian yang menjadi pertaruhan tersebut. Mereka yang lain melopong bila melihat si musang melompat tinggi seakan sedang terbang, lalu… “Kuk!” Kepalanya terhantuk akan buah itu dan jatuh terus ke tanah.

     Tanpa sebarang suara sebagai sorakan. Apa yang ada hanya suara mengaduh si musang yang tidak sedar yang kepalanya tercucuk durian.

     “Akhirnya kita dapat juga pewaris takhta yang baru… musang si raja rimba. Dengan lafaz one two three, beta isytihar raja baru… Musang King!” Laung sang singa. Si musang yang masih terpinga-pinga sedang berusaha menarik duri yang melekat di kakinya.

     Akhirnya durian yang terpacak di kepala musang telah berjaya di eksport ke serata dunia dan menjadi terkenal seperti filem Anna and The King.

Friday, August 23, 2013

Keburukan Memanaskan Enjin Kenderaan



Aktiviti memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal dan sebagainya termasuklah helikopter.

Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit. Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan yang memakan masa dalam 15 minit. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga dan memastikan jangka hayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.

4 negara yang telah menegah pemanasan enjin:
  •   Jepun
  •  United Kingdom
  • Amerika Syarikat
  • Kanada

·        Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar,  pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun, United Kingdom dan  Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan tidak bergerak melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?

The Canadian Office of Energy  Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya.

Les Ryder, seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat berkata, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85 - 90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan tidak bergerak adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin.

KEBURUKAN

DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan idle dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahan api tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.

PALAM PENCUCUH MENJADI KOTOR 
Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.

PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT 
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan idle maka bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.

FUNGSI ENJIN GAGAL BERFUNGSI DENGAN BAIK
Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran udara dapat diminimakan.

Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan idle, komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, anda perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja.

MEMBAZIR DAN MENCEMARKAN
Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.

Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Kereta perlu digerakkan untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju.

Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab mereka tahu jika enjin cepat rosak nanti mesti pelanggan mengadu. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus pandu cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu.

Seperkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak bergerak..


Tuesday, January 15, 2013

10 Fakta Tentang Kafein


  1. Kafein adalah bahan semulajadi yang terdapat dalam lebih 60 tumbuhan berlainan & digunakan oleh 2/3 daripada penduduk dunia.
  2. Bahan ini mampu meningkatkan paras tenaga, yang mana mengoptimumkan persembahan atletik, kapasiti otot & daya ketahanan. Fakta ini membolehkan anda melakukan senaman lebih efektif untuk jangka masa panjang.
  3. Kafein mengerah otot menggunakan simpanan lemak dalam badan seperti kereta yang memerlukan petrol. Cara ia memecahkan lemak adalah dengan meningkatkan metabolisme badan.
  4. Satu lagi fakta yang diketahui adalah individu yang mengambil kafein bekerja lebih baik berbanding yang tidak.
  5. Kafein meningkatkan paras dopamine dalam otak, menjadikan anda berasa sihat secara optimum.
  6. Kafein menghasilkan stimulasi pada otak & bahagian lain yang lebih penting dalam sistem saraf.
  7. Ia juga mengandungi anti oksidan yang membantu memperbaiki sel rosak disebabkan sinar UV yang berbahaya.
  8. Kafein juga dipercayai berkesan mengurangkan sesetengah penyakit kritikal seperti Alzheimer, Parkinson, jantung, diabetes melitus tahap 2, sirosis hati & gout.
  9. Kelebihan kafein menentang masalah dihydrotesteron (DHT) yang merosakkan akar rambut sudah terbukti.
  10. Kafein juga meningkatkan kesihatan & kelajuan sperma lelaki.

* Sumber: Mingguan 13/1/2013 & www.setiakombinasi.com

LinkWithin

LinkWithin