Google+ Fans

Friday, November 29, 2013

Asal Usul Durian Musang King

Maka tersebutlah satu kisah di mana tahunnya tersangatlah lama. Sebelum terciptanya calendar meja mahupun computer riba. Jika mahu di kira berapa kurun cerita ini diwariskan maka orang itu pasti akan menjadi gila. Tersebutnya kisah ini yang terletak tempatnya di dalam hutan yang terpencil, sama seperti akan tahunnya juga… tidak diketahui asal tempatnya.

     Di belakang sebuah pokok jati ada terkumpulnya semua binatang, dari pelusuk hutan keluarnya mereka. Yang di awan, di air dan di darat semuanya berkumpul seakan ada pesta yang akan diadakan. Bila dibelek satu persatu wajah mereka, semuanya masam mencuka dan bermuram durja. Entah apa sebabnya.

     “Dengar sini rakyat beta sekalian, hayat beta tidaklah lama. Telekan sang tabib hanya tinggal sepurnama cuma. Sebelum beta menghembuskan nafas yang terakhir, inginlah beta menyerahkan takhta beta ini kepada yang hak. Oleh kerana beta tidak mempunyai zuriat, maka dengan ini beta ingin mencari antara sesiapapun dikalangan kamu yang mampu menyahut cabaran beta ini akan beta tabalkan dia gelaran raja rimba yang baru.”

     Maka tercenganglah sekalian penghuni hutan. Ada yang berpandangan sesama sendiri ada pula yang tersenyum di dalam hati bila mendengar perkhabaran raja rimba yang mencari pewaris takhta yang baru.

     “Bersiaplah semuanya, dengan terbitnya fajar besok hari maka bermulalah cabaran untuk kamu semua.” Jerit sang singa dengan gagahnya. Maka bersurailah sekalian rakyat pulang ke kubu masing-masing.

     Duduknya di kubu masing-masing tidaklah hanya bersahaja menggoyangkan kaki. Yang darat dengan cara daratnya, yang di air dan di udara lazim dengan cara masing-masing. Semuanya tidak sabar menunggu terbitnya fajar. Ada yang mengasah taji, ada yang mengasah paruh, menajamkan gigi dan pelbagai cara lagi bagi memperkemaskan diri.

     Cuaca pada hari itu dikhabarkan sungguh tenang. Tiada sebarang angin dan tiada sebarang awan. Langit jingga surut bertukar warnanya menjadi biru air laut. Semua penghuni hutan sudah siap sedia untuk bertempur. Tiada sebarang teguran, tiada sebarang senyuman. Masing-masing mempertajamkan fikiran dan cuba untuk menidak rasa belas kasihan kepada lawan.

     “Dengar sini semua… seperti yang dijanjikan semalam, sesiapa yang menang dalam pertempuran ini dialah yang berhak memegang tampuk pemerintahan.” Jerit si raja. Maka terdengar gegak gempita seluruh rimba.

     “Sesiapa yang mampu membawakan aku durian yang jauhnya di atas pokok itu maka dialah yang menang.” Maka terkagumlah sebentar penghuni alam kerana mereka menyangka bahawa mereka perlu beradu kekuatan seperti tahun-tahun yang sudah. Ternyata anggapan mereka meleset.

     Sahibul bermulalah cabaran itu. Satu demi satu tumpas. Tingginya durian itu tidak dapat diukur dengan pita pengukur. Makin lama, makin ramai yang kecundang. Jauh di balik sebatang pokok terlihat musang yang mundar-mandir mencari arah. Sedang dia bermundar-mandir tiba-tiba…

     “Adoooiii!!” Jeritnya seraya melompat tinggi. Tinggi lompatannya terus meluru ke arah satu buah durian yang menjadi pertaruhan tersebut. Mereka yang lain melopong bila melihat si musang melompat tinggi seakan sedang terbang, lalu… “Kuk!” Kepalanya terhantuk akan buah itu dan jatuh terus ke tanah.

     Tanpa sebarang suara sebagai sorakan. Apa yang ada hanya suara mengaduh si musang yang tidak sedar yang kepalanya tercucuk durian.

     “Akhirnya kita dapat juga pewaris takhta yang baru… musang si raja rimba. Dengan lafaz one two three, beta isytihar raja baru… Musang King!” Laung sang singa. Si musang yang masih terpinga-pinga sedang berusaha menarik duri yang melekat di kakinya.

     Akhirnya durian yang terpacak di kepala musang telah berjaya di eksport ke serata dunia dan menjadi terkenal seperti filem Anna and The King.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin