Wednesday, March 5, 2014

Cahaya Putih Muncul Di Hujung Kaki Arwah Atuk

     Hari Khamis, malam Jumaat, ruang tamu rumah atuk sudah dipenuhi saudara mara dan jiran tetangga. Saya yang baru tiba dari Kuala Lumpur terus melangkah masuk ke dalam rumah.
     Di dalam, suara orang ramai mengalunkan surah Yasin, bergema di setiap penjuru rumah. Sambil itu, ada yang menangis dan ada yang bermuka muram. Semuanya sedang bersedih meratapi pemergian atuk.
     Di atas katil yang diletakkan di ruang tamu, kelihatan kain putih nipis melitupi jenazah atuk yang sedang terbaring kaku. Atuk meninggal pada pukul 8.33 malam itu, ketika berusia 83 tahun. Atuk meninggal akibat komplikasi jantung.
     Sebelum itu, ketika mak menghubungi saya memberitahu, atuk meninggal dalam keadaan yang sangat tenang dan mudah. Atuk meninggal di atas pangkuannya sebaik saja selesai azan Isyak di masjid berdekatan.
     Sebenarnya, sebelah petangnya itu, atuk baru saja di bawa pulang ke rumah dari hospital. Melihat keadaan atuk semakin tenat, doktor mengesyorkan atuk dibawa balik saja. Dan sebelah malamnya, atuk meninggal dunia.
     Tanpa berlengah, saya hampiri jenazah atuk. Di sebelah arwah, mak sedang membaca surah Yasin. Kemudian, kain yang melitupi muka atuk saya selak perlahan-lahan.
     Sebaik muka atuk terpampang, saya tergamam. Saya juga hampir melompat. Ibu yang duduk di sisi atuk mencebik muka dengan sikap saya.
     Waktu itu, secara spontan terlintas perkataan yang agak kurang ajar dalam hati saya. "Ini ketua penyamun bujang lapuk. Tapi mati dalam iman," kata hati saya.
     Perkataan begitu terlintas dalam hati dan saya terkejut bukan sebab takut tengok wajah arwah. Bukan juga saya nak kata arwah ni jahat semasa hayatnya.
     Tapi sebab saya pelik. Sebagai cucu, saya kenal sangat dengan arwah. Atuk saya ini, wajahnya garang dan bengis. Mukanya sentiasa serius. Maklumla bekas sarjan tentera. Kalau nak tengok muka atuk tersenyum atau ketawa memang susah.
     Tapi, malam itu wajah atuk berlainan benar. Wajah atuk begitu tenang. Muka atuk berseri-seri dan bersih. Di hujung bibir arwah ada rongga dan membuatkan arwah seolah-olah sedang tersenyum.
     Manis sangat! Rasanya itulah pertama kali saya lihat wajah atuk sebegitu rupa. Selepas itu, saya membongkok dan mencium dahi atuk untuk kali terakhir.
     Sebaik hidung mencecah dahi, sekali lagi saya terkejut. Bau wangi mencucuk hidung saya. Wanginya pula sukar nak saya gambarkan. Wangian itu datangnya dari jenazah atuk.
     Kemudian saya tanya pada mak, ada mandikan atau letak minyak wangi pada arwah? Tapi mak menafikannya. Kata mak, mereka tak buat apa-apa lagi pada arwah kecuali menukar baju selepas atuk meninggal dunia.
     Kalau begitu, bagaimana jasad atuk berbau wangi? Waktu itu, saya terfikir mungkin apa yang saya lihat dan rasakan ini adalah bahagian teristimewa untuk arwah atuk.
     Tambahan pula, atuk meninggal malam Jumaat. Saya pernah dengar ustaz bercerita, kalau seseorang meninggal dunia hari Jumaat seseorang itu akan terlepas dari seksaan kubur.
     Saya juga pernah terbaca satu hadis yang lebih kurang begini maksudnya: "Tiadalah seorang Islam yang meninggal dunia di hari atau malam Jumaat melainkan Allah memeliharanya daripada fitnah kubur."
     Dan apa yang saya fikirkan itu mungkin ada benarnya. Sebab bukan saya saja yang lihat dan rasa keistimewaan itu. Begini, esoknya pada hari pengebumian di Kampung Baru Si Rusa, Negeri Sembilan, berlaku lagi kejadian yang saya kira sangat istimewa.
     Perkara ini bukan saya alami tapi individu lain. Selepas selesai pengebumian atuk, kami semua pulang ke rumah. Di rumah, seluruh keluarga berkumpul termasuk isteri kedua atuk iaitu nenek tiri saya, anak-anak serta cucunya.
     Ketika berkumpul itu, mak membuka cerita. Kata mak, ketika jenazah atuk hendak dikebumikan, dia rasakan sesuatu yang pelik.
     Waktu itu, mak bersama nenek tiri sedang berdiri paling hadapan, menghadap ke liang lahad. Saya pula berdiri di hujung liang lahad sebelah kaki.
     Sebaik jasad atuk diturunkan dan disambut tiga orang adiknya, mak dapat rasakan ada angin yang begitu sejuk dan nyaman bertiup dari dalam liang lahad.
     Mak terasa seolah-olah dia berada di dalam penghawa dingin. Mak perhatikan sekeliling, tengok ada tak pokok bergoyang. Tapi tak ada pula tanda-tanda angin bertiup.
     Lalu mak tanya pada ibu tiri, apa yang dia rasa itu. Rupanya bukan mak seorang saja, malah nenek tiri juga turut terasa ada angin sejuk bertiup dari dalam liang lahad arwah suaminya itu.
     Malah kebanyakan yang berdiri menghadap liang lahad boleh rasa angin sejuk tersebut. Mereka terasa begitu nyaman dan segar.
     Bila dengar cerita mak, terkejut juga saya dibuatnya. Bagaimana boleh ada angin dari dalam lubang kubur? Lainlah kalau ketika itu kita berada di kawasan terbuka atau lapang. Ini tidak, angin keluar dari lubang kubur. Kubur atuk seolah-olah didinginkan.
     Selepas mak cerita pengalamannya, nenek tiri beritahu dia juga ada lihat perkara aneh ketika jenazah atuk hendak di kebumikan. Ketika jenazah atuk dalam liang lahad dan anak-anak tirinya sedang membetulkan kedudukan arwah, nenek terpandang satu cahaya putih terang. Bila nenek perhatikan, rupa-rupanya cahaya itu datang dari kaki jenazah atuk yang sedang berbungkus itu. Cahaya itu terang, bersinar-sinar dan berwarna putih.
     Apakah cahaya yang nenek lihat itu, tidak pula nenek tahu. Dan cahaya itu juga hanya nenek tiri seorang saja yang ternampak.
     Sebenarnya, semasa jenazah atuk di masukkan, masih ada ruang hampir setengah kaki di bahagian hujung kepala dan kaki arwah. Semua orang boleh melihatnya. Sebagai orang kampung di situ, saya kenal penggali kubur tersebut. Saya tahu bagaimana kerjanya menggali kubur. Kerjanya memang kemas. Jarang dia buat silap. Ukuran jenazah dengan lubang kubur biasanya elok-elok saja. Tak pernah terkurang atau terlebih. Tapi hari itu, kubur atuk begitu luas.
     Jadi bagi saya, setelah mendengar pelbagai cerita dan melihat sendiri pelbagai kejadian pelik tentang atuk, saya berasa ini mungkin anugerah Allah untuk arwah. Tapi bagaimana atuk boleh dapat keistimewaan begini?
     Bila difikir-fikirkan baru saya sedar. Bukan niat hendak memuji atuk sendiri, tapi inilah hakikatnya. Atuk memang baik dengan kami sebagai anak yatim.
     Selepas ayah saya meninggal pada tahun 1984, atuklah tempat kami bergantung nasib. Arwah begitu ambil berat tentang kami sekeluarga. Setiap hari arwah datang bertanya khabar, hantar makanan dan bagi duit belanja. Atuk langsung tak berkira soal duit dan kebajikan kami.
     Setiap hari, selepas Subuh pula, arwah akan datang ambil mak di rumah sebelum menghantar ke warung tempat berniaga. Waktu balik arwah akan datang jemput. Begitulah sikap arwah atuk sampailah beliau meninggal dunia.
     Adik bongsu saya juga mendapat kasih sayang dari arwah. Sebab ketika ayah meninggal, adik baru berusia enam bulan. Atuklah ganti arwah ayah tempat adik bermanja dan berkasih. Secara tidak langsung arwah membela kami empat beradik anak yatim.
     Kalau hendak bercerita kasih arwah pada anak-anak yatim memang banyak. Contohnya, selepas bercerai dengan isteri pertama, arwah berkahwin dengan janda anak tujuh. Kalau ikutkan logik, lelaki kalau nak kahwin lain mestilah cari isteri muda atau cantik. Tapi arwah atuk tidak begitu. Arwah pilih berkahwin dengan janda anak tujuh. Atuk buat begitu sebab hendak bela dan jaga anak-anak janda itu. Malah selepas bercerai dengan isteri pertama, arwah tak pernah abaikan nafkah dan tanggungjawab pada anak dan isteri walaupun mereka sudah besar dan berkeluarga.
     Kalau bab didikan agama pula arwah memang tegas. Pernah adik mak saya ditendangnya sebab enggan bangun solat Subuh.
     Lagipun saya pernah terbaca hadis Rasulullah yang lebih kurang begini maksudnya: "Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah s.w.t akan memasukkan ke dalam syurga, kecuali dia melakukan dosa yang tidak boleh diampunkan."
     Mungkin atas sebab-sebab itulah, arwah atuk mendapat keistimewaan sebagaimana yang telah saya saksikan itu. Akhir sekali, tujuan saya bercerita kisah ini bukanlah untuk berbangga atau memuji atuk sendiri, tapi sekadar sebagai iktibar dan berkongsi pengalaman, agar kita dapat memperbaiki diri masing-masing. Wallahuaklam.

     Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah s.w.t, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya." (Hadis Riwayat Ahmad)


   *Ruzaidi Ariffin Rosdi & Mastika

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin