Google+ Fans

Tuesday, December 24, 2013

Adab Memberi Nasihat



1. Niat yang benar


  • ·        Orang yang memberi nasihat kepada orang lain hendaklah meniatkannya semata-mata kerana Allah di samping mencari pahala dan balasan di sisiNya. Ini kerana nasihat yang diberikan kepada kaum Muslimin mengandungi pahala yang besar. Rasulullah SAW sendiri menganggapnya sebagai inti ajaran agama seperti dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Agama adalah nasihat.”

 2. Memberikan nasihat walaupun tidak diminta

  • ·        Ini merupakan kesempurnaan nasihat untuk saudara sesama Muslim. Jika kita mendapatinya hampir terjatuh dalam sesuatu keburukan, melakukan perlanggaran syariat, melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya, maka perlu segera menasihatinya. Bersabarlah dengan respons tidak baik yang mungkin bakal diterima. Jika itu berlaku, jangan berhenti memberi nasihat kerana kita melakukannya hanya kerana mengharapkan pahala daripada Allah.

 3. Menyampaikan nasihat dengan berhikmah

  • ·        Dalam keadaan-keadaan tertentu, nasihat boleh disampaikan secara langsung. Namun dalam sesetengah keadaan, lebih utama untuk memberi nasihat secara tidak langsung. Kadangkala nasihat juga boleh disampaikan melalui amal perbuatan. Cara penyampaian nasihat berbeza-beza mengikut keadaan orang yang dinasihati; anak kecil, orang dewasa atau orang yang memiliki kedudukan tinggi di tengah-tengah masyarakat. Tidak semua cara sesuai untuk setiap orang.

 4. Memberi nasihat secara umum dalam urusan agama dan dunia

  • ·        Seseorang perlu memberi nasihat kepada saudara sesama Muslim sama ada dalam perkara agama, mahupun dunia. Maksudnya, dalam perkara-perkara yang ia ketahui atau yang dipandang sebagai perkara yang bermanfaat bagi orang tersebut dalam urusan agama dan dunianya. Apabila mempunyai peluang untuk memberikan nasihat, maka janganlah kita menahan diri untuk melakukannya.

 5. Merahsiakan nasihat

  • ·        Seseorang tidak seharusnya memberikan nasihat secara terang-terangan di hadapan orang lain kerana ia boleh memalukannya. Imam al-Syafi’i berkata:
“Sesiapa yang menasihati saudaranya secara diam, maka sungguh dia telah memberikan nasihat dengan cara yang paling baik. Sedangkan, sesiapa yang memberikan nasihat secara terang-terangan, maka dia telah mendedahkan keaiban dan merendahkan saudaranya itu.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin