Google+ Fans

Monday, December 30, 2013

Macam Ni Ceritanya Bang…

     Pagi-pagi lagi saya dah bangun. Betul saya tak tipu, ayam yang selalu tumpang tidur kat depan umah kita pun saya yang kejutkan. Memang saya dah plan baik, memang plan ni la yang paling terbaik sejak saya sekolah dulu. Kira kalau jadi plan saya ni kompom akan tercatat dalam buku rekod dunia la. Betul… saya tak tipu.

     Belum pun pukul 6 pagi saya dah standby depan rumah. Barang-barang semua dah siap, list, duit harian campur duit main kutu semua saya dah siapkan. Memang dah betul-betul nak pergi ni. Baru je kaki setapak melangkah saya dengar ada bunyi suara perempuan mintak tolong. “Tolong, tolong!” Sayup dan sayu bunyinya. Mula-mula seram jugak, lepas tu dah tak seram sebab suara tu datang dari Mak Kiah jiran belakang rumah. Umur dah nak masuk 64 tahun pun mengandung lagi. Haa, tu suara dia nak beranak la tu. Saya sebagai jiran dan pernah memasuki kelab rakan sebaya tiga tahun berturut-turut serta ahli jawatankuasa keceriaan persatuan pandu puteri sekolah merasakan amatlah tidak adil kalau saya tak tolong. Betul… saya tak tipu.

     Tanpa menoleh kebelakang dan memikirkan bebanan hutang, saya dengan selamba melantik diri saya menjadi bidan dalam acara membidankan Mak Kiah ni. Saya pun apalagi suruh la dia teran. Tolak, push… sebijik macam drama kat TV sambil menyanyi lagu ‘Kau Boleh’ sebagai pemberi semangat. Last-last selamba je dia lempang saya dengan alasan saya ni menyindir perut buncit dia. Ooo.. mana la saya tau perut dia buncit, ingatkan nak beranak tadi. Tapi saya pelikla apasal pulak dia menjerit pagi-pagi ni, rupa-rupanya masa syok makan lempeng dia tergigit lidah sendiri. Betul… saya tak tipu.

     Lepas kena lempang, dengan muka yang bengkak dan berbekalkan hati yang bengang saya tetap meneruskan niat ke destinasi yang nak dituju. Sekali lagi saya dikejutkan dengan insiden yang pelik, cuaca nan indah dan cerah diselang seli dengan kicauan burung-burung, diterangi sinar suria, ditambah dengan tiupan angin barat daya yang dingin berubah menjadi gelap dengan serta merta. Saya menjerit sekuat hati bila ingatkan saya dah buta tapi tiba-tiba ada sorang mamat tegur saya, “Tau la pakai spek hitam baru, tak payah la nak berlagak!” Laa… saya tak perasan pulak yang dari tadi saya pakai spek hitam. Betul… saya tak tipu.

     Saya pun terus berjalan dengan muka bersahaja sambil menyisipkan spek hitam di dada. Tiba-tiba saya tengok sekumpulan manusia bertempiaran lari. “Eh! Ada acara merentas desa ke pagi-pagi ni?” Saya pun tanpa segan silu join diorang lari. Lari punya lari, punya lari… tapi tak sampai-sampai jugak garisan penamatnya. Rupanya baru saya tau yang diorang ni lari dari hutang. Saya ni mana ada hutang, buat apa saya nak lari. Buat penat jela. Lepas tu, haa… ni yang seram. Saya nampak ada raksasa. Apa hal pulak menatang ni buat kat sini? Ke saya dah lari sampai Jepun? Konfius jugak saya orang keliling buat rilek je, siap lambai-lambai, jerit macam nampak Brad Pitt pulak. Berbekalkan semangat pahlawan yang tinggi saya berlari sambil menjerit dan berubah menjadi hero pujaan ramai Ultraman Taro tapi sayang, cota hikmat yang saya jumpa masa mengembara kat Jepun tu takde bateri… lupa nak cas. Takpe… saya akan cuba lawan jugak. Saya gigit kuku kaki kanan dia bagai nak rak, raksasa tu selamba je senyum kat saya. Lepas tu saya tengok ada kerusi terbang tepat kena kat kepala saya. “Cut!” Laa… diorang tengah shooting filem rupanya. Betul… saya tak tipu.

     Saya pun teruskan lagi perjalanan walaupun diejek dan dimalukan tapi demi tanggungjawab saya teruskan jugak. Ingat dah habis dah penyeksaan saya tapi rupa-rupanya ada lagi… lagi dahsyat. Saya nampak kereta, lori, kereta kebal, kapal terbang semua berubah jadi robot… besar tu. Semua benda boleh jadi robot, siap bergaduh lagi. Ada yang keluar api kat tangan, ada yang keluar bom, bangunan kiri kanan habis hancur. Ada 2 puak… yang baik heronya lori dan yang jahat jet. Perghh! Dahsyat tu diorang gaduh sampai meletup sini sana, kagum la saya tengok tapi tiba-tiba je…”Ni bukan wayang, nak tengok beli!” Laa… saya terlayan TV kat tepi jalan rupanya. Patut macam pernah tengok je cite tu. “Alamak!” Jerit saya bila lihat jam lagi 12 minit nak ke pukul 5. Berlari saya balik rumah sampai lupa nak beli apa-apa. Betul… saya tak tipu, macam tu la ceritanya bang.

     “Dah, dah… tak payah nak mengarut lagi. Bukan saya tak tau awak layan telenovela dari pagi sampai petang. Jangan katakan masak, pergi pasar pun tak, makan kat luar je la malam ni.” Ujar suamiku. Aku hanya mampu tersenyum riang menandakan taktik untuk menyelamatkan diri hari ni dah berjaya.

1 comment:

LinkWithin

LinkWithin