Google+ Fans

Thursday, March 13, 2014

Diusik 'Teman Pejabat' Bermata Merah

     Malam kian larut tetapi Hazifah masih tekun di meja kerjanya. Fail-fail penting masih bertimbun untuk diselesaikan. Tertekan namun apakan daya kerana ia harus dilakukan secepat mungkin. Tinggal tiga hari sahaja masa yang diberi oleh Encik Rahmat untuk menghabiskan kesemuanya. Sebentar tadi, dia sempat menjeling ke meja Ainun, Mira, Rahim dan Fadhil. Masing-masing laju menekan papan kekunci seperti dirinya.
     Sebagai seorang arkitek berpengalaman, syarikat memberi sepenuh kepercayaan pada Hazifah untuk menyelesaikan banyak perkara. Oleh sebab itulah dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, Hazifah cepat benar dinaikkan pangkat. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, kerjanya sering tertangguh kerana terpaksa berulang-alik ke kampung menjenguk ibu yang semakin uzur. Sedang asyik membuat perkiraan, bahunya terasa ditepuk dari belakang.
     "Ish, kau rupanya Ainun. Buat terkejut sahaja. Kenapa tak beri salam? Sudah lupa ke?" sindir Hazifah dengan wajah mencuka.
     "Maaflah. Aku bergurau sahaja tadi. Dari jauh aku nampak kau khusyuk sangat bekerja sedangkan aku pula terlalu mengantuk. Sebab itulah aku datang, hendak ajak kau berbual-bual sekejap," ujar Ainun berbasa-basi.
     "Aku sibuklah Ainun. Kerja masih banyak yang belum siap. Tiga hari lagi Encik Rahmat minta semua fail ini ada di atas mejanya. Macam tak cukup kaki tangan aku bekerja," getus Hazifah sambil membetulkan ejaan yang salah di skrin komputer.
     "Kalau begitu, aku baliklah dahulu. Duduk lama-lama pun buat mengantuk sahaja. Ada orang pun macam tak ada orang," rajuk Ainun dan terus berlalu.
     Hazifah masih tekun bekerja. Tidak sedikit pun dia menyesal memperlakukan Ainun sebegitu rupa. Baginya, itu perkara biasa malah dalam tempoh sehari dua, hilanglah marahnya. Setengah jam kemudian, terdengar suara yang cukup dikenali menyapa ke telinganya. Seperti yang diduga, Ainun berada di belakang kerusinya.
     Ainun mendiamkan diri. Di tangannya terjinjing beg plastik berisi makanan bersama dua bungkus teh tarik. Sebungkus diberikan kepada Hazifah dan sebungkus lagi diambilnya.
     "Makanlah," pelawa Ainun dan terus berlalu ke mejanya.
     Hazifah membiarkan sahaja bungkusan makanan di atas mejanya. Barulah dia tahu rupa-rupanya tadi Ainun hanya menggertak untuk balik. Sambil tersenyum, bungkusan berisi mi goreng yang menjadi kegemarannya dimakan sampai habis.
     Selepas kekenyangan, ingin sahaja Hazifah pulang ke rumah, namun sebaik teringatkan 'janjinya' pada Encik Rahmat, keinginan tersebut terpaksalah dilenyapkan.
     Waktu berehat 10 minit sudah berlalu. Selepas menarik nafas yang panjang, Hazifah meneruskan semula kerja-kerjanya yang tertangguh. Tidak lama kemudian matanya terganggu dek cahaya yang dipancarkan oleh mesin fotostat. Pelik. Tiada siapa di situ jadi bagaimana pula mesin boleh 'hidup' sendiri.
     Kejadian yang berlaku membuatkan hatinya sedikit berdebar namun digagahkan juga apabila wajah Encik Rahmat terbayang di ruang mata.
     Kerja yang terbiar diteruskan semula walau perasaannya mula berkecamuk. Berbelah bahagi untuk terus di pejabat atau pulang sahaja ke rumah. Sedang cuba menyedapkan hati, dia dikejutkan pula dengan kerusi kerja Fadhil yang tiba-tiba bergerak di hadapan matanya seperti ada yang menolak dari belakang. Peluh dingin mula membasahi. Nama Ainun dipanggil berkali-kali namun tiada sahutan. Ketika itu juga, telefonnya berdering minta dijawab.
     "Hello Ifah. Kau masih di pejabat ke? Gigih sungguh. Pukul berapa hendak balik ni?" soal Ainun dengan nada bergurau.
     "Aku di pejabatlah, kau di mana? Banyak kali aku panggil nama kau tadi, kenapa tidak dijawab?"
     "Hei, kau mimpi ke ni? Kan aku dah balik awal-awal tadi sebab kau tak layan aku berborak. Dah lupa?"
     Sebaik mendengar jawapan Ainun, kaki Hazifah mula terketar-ketar. Badannya kini bermandikan peluh. Kepalanya berserabut memikirkan siapa pula yang berikan makanan dan minuman kepadanya tadi jika bukan Ainun. Serta merta, terdengar satu suara di belakangnya menjawab "Sayalah!!"
     Hazifah memberanikan diri memalingkan wajahnya untuk melihat pemilik suara yang menyahut tadi.
Kelihatan satu lembaga putih dengan mata kemerahan menyeringai ke arahnya. Serta merta, kepalanya pusing dan terus tidak sedarkan diri apabila rambut tetamu tidak di undang itu 'mencium' kasar wajahnya yang pucat lesi.
     Sejak hari itu, Hazifah tidak lagi bekerja lewat malam kerana bimbang sekiranya pisang berbuah dua kali.

2 comments:

LinkWithin

LinkWithin