Google+ Fans

Tuesday, March 18, 2014

Tanpa Restu Keluarga Sukar Bina Bahagia

   
     Benarlah kata orang, perkahwinan tanpa restu ibu bapa tidak bawa ke mana. Bahagia diharap tidak kunjung tiba akhirnya derita melanda. Itulah yang berlaku dalam rumah tangga Amir. Bahagia yang didamba tidak menjelma sebaliknya perkahwinan atas nama cinta itu hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Amir bingung memikirkan di mana silapnya, apakah tiada keberkatan kerana tiada restu orang tua?

     Amir memilih Suhana, janda anak empat sebagai suri hidupnya. Bukan kerana paras rupa yang membuat Amir tertarik tetapi sifat keibuan yang ditunjukkan oleh Suhana membuatkan Amir jatuh hati. Kata orang cinta itu buta, memang betullah ungkapan itu. demi cinta Amir sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bersama Suhana sehingga mengetepikan pandangan ibu bapa dan keluarga yang tidak merestui perkahwinan ini.
     Puas Amir memujuk ibu bapanya agar menerima Suhana sebagai menantu. Namun mereka tetap enggan. Amir mengambil keputusan tidak mahu mengalah. Dia tidak sesekali akan memutuskan hubungan dengan Suhana dan berjanji akan mengahwini wanita idamannya itu. Akhirnya Amir dan Suhana bernikah di Thailand untuk menghalalkan hubungan mereka.

Bahagia Cuma Seketika

     Rumah tangga Amir dengan Suhana sangat bahagia. Dia menganggap anak-anak tiri seperti anak sendiri. Amir sentiasa berusaha melengkapkan segala keperluan keluarga. Setelah perkahwinan mencecah usia setahun, ada riak-riak kecewa menyelubungi diri Amir. Belum ada tanda-tanda Amir akan dikurniakan zuriat darah dagingnya sendiri. Amir belajar bersabar dan pasrah, mungkin Allah S.W.T mahu menguji ketulusan kasih sayangnya terhadap anak-anak Suhana.
     Demi mahu melihat keluarganya terus bahagia, Amir meminta Suhana berhenti kerja. Dia yakin mampu menanggung keluarga dengan pendapatannya dan mahu Suhana memberi tumpuan penuh pada urusan anak-anak dan rumah tangga.
     Suhana menerima permintaan Amir kerana dia juga mahu buat yang terbaik untuk keluarga. Namun sebagai wanita yang pernah bergelar ibu tunggal dan pernah hidup berdikari, Suhana tidak betah duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa yang mendatangkan hasil. Memahami kehendak isteri, Amir mengizinkan Suhana bekerja dari rumah dengan membuka perniagaan secara online, malah dia sudi pula memberikan modal buat isteri tersayang.
     Nyata Suhana menggunakan kesempatan itu sebaiknya. Perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan sehingga kadang-kadang Suhana tidak punya banyak masa bersama anak-anak. Hujung minggu menjadi hari sibuk buatnya menguruskan pesanan pelanggan selain mengikuti pelbagai seminar perniagaan.
     Tidak mahu anak-anak rasa terabai dengan kesibukan ibu mereka, Amir mengambil alih tugas dengan melayan dan membawa anak-anak bersiar-siar. Kadang-kadang, tidur malam pun bersama anak-anak kerana Suhana sibuk dan keletihan. Amir sedaya upaya cuba memahami kesibukan isterinya yang menunjukkan kejayaan dalam bidang perniagaan onlinenya.
     Lain pula yang jadi kepada Suhana. Kebebasan dan kepercayaan yang diberikan Amir membuatkan dirinya lupa diri. Pergaulannya semakin luas hingga dia berpeluang berkenalan dengan ramai orang. Kesempatan ini digunakan oleh Suhana untuk membuka pintu hatinya menerima cinta daripada Azlan.
     Azlan jauh lebih muda daripada Suhana tetapi dia mengagumi isteri orang itu yang pandai berniaga. Suhana pula semakin alpa dan tertarik dengan kekacakan Azlan yang meminatinya. Akhirnya Suhana tewas dengan hasutan nafsu.

Tertangkap Ketika Berduaan

     Suatu hari Amir pulang awal kerana mahu memberi kejutan buat isterinya. Dia tahu anak-anak berada di sekolah dan Suhana tentu sibuk dengan uirusan tempahan pelanggan. Tetapi Amir tidak tahu sebenarnya pada hari itu juga Azlan berkunjung ke rumahnya untuk membantu Suhana menguruskan tempahan pelanggan. Mula-mula memang mereka sama-sama menguruskan kerja-kerja pembungkusan namun lama kelamaan mereka menguruskan satu sama lain.
     Dengan keadaan rumah yang sunyi sepi tanpa gangguan anak-anak, Suhana dan Azlan mengambil kesempatan itu untuk memadu asmara. Suhana langsung tidak menduga Amir akan pulang awal. Amir pula terkejut melihat ada kereta lain berada di laman. Perlahan-lahan dia masuk ke rumah dan mendapati Suhana tiada di ruang kerja.
     Hati Amir berdetik menuju ke bilik. Alangkah terkejutnya Amir menyaksikan sandiwara Suhana dan Azlan di rumahnya sendiri. Tanpa sedar, Amir meluru ke arah Azlan dan menghadiahkan tumbukan tepat di muka. Kemarahannya memuncak melihat Suhana dalam keadaan separuh tidak berbaju. Dengan kuasa yang ada padanya, Amir lantas menjatuhkan talak ke atas Suhana.
     Apa lagi yang dapat dikatakan oleh Amir. Rasa kecewa dan kesedihannya saling bertindih. Dia tidak tahu mengapa Suhana sanggup menikamnya dari belakang. Dia tidak tahu mengapa isteri yang dicintainya itu tega menduakan dirinya.
     Perlahan-lahan terbit rasa kesal di hati Amir. Barangkali inilah hukuman atas dirinya yang tidak mendengar nasihat ibu bapa. Hatinya telah dibutakan oleh cinta hingga dia tidak kenal mana kaca, mana permata.
     Akhirnya tinggallah Amir sendirian berkelana melayan cintanya yang hilang. Dia seakan-akan serik mendirikan rumah tangga walaupun dipujuk berkali-kali oleh ibu bapanya. Bagi Amir terlalu pahit untuk dia menelan semua penderitaan akibat dicurangi isteri sendiri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin