Thursday, March 20, 2014

Jaga-Jaga, Rumah Itu Ada Pocong!!!

     Ceritanya mudah. Ringkas, tak ada belok-belok. Orang putih kata straight to the point. Tapi masalahnya, ending cerita ni lain sedikit. Tak sama macam kisah orang lain yang Shafrie pernah dengar. Memang kawan-kawannya di Kampung Umbut di daerah Hulu Perak itu takkan kata dia bermimpi. Cuma, mereka pasti akan gelak sampai nak terburai isi perut. Paling tidak pun, mereka akan anggap Shafrie tengah high atau stim ubat batuk.
     Masalahnya sekarang, dia tak pernah pun ambil benda-benda terlarang, jauh sekali nak suntik dadah ke dalam tubuh macam budak-budak kampung lain. Hisap rokok pun tidak, takkanlah dia gatal nak minum ubat batuk atau telan syabu. Jadi, kalau ada yang kata dia high, memang Shafrie sanggah habis-habisan.
     Nak kata dia tersalah nampak, tak mungkin juga sebab masa tu dia ditemani adiknya, Shahrizan. Apa yang Shafrie lihat semasa kejadian penghujung 2013, Shahrizan juga nampak benda yang sama. Sebiji-sebiji mereka berdua nampak.
     Memang sah, semasa naik motosikal balik dari kebun getah lebih kurang pukul 6.00 pagi, mereka berselisih dengan Pak Lang Berahim dekat dengan rumah kosong di hujung kampung itu. Shafrie dan Shahrizan sendiri nampak kelibat Pak Lang Berahim yang naik basikal menuju ke gerai Pak Hasan Kenit. Orang tua itu siap sengih dan angkat tangan lagi. Di handle basikal tersangkut tongkat kayu berwarna coklat yang Pak Lang selalu bawa ke hulu ke hilir.
     Pak Lang kayuh basikal laju. Belakang basikal tua Pak Lang ada orang pakai baju putih duduk atas pelantar tempat duduk. Raut wajah mereka tak nampak pula. Mungkin Mak Lang Mah, isteri Pak Lang. Tapi...
     Hendak kata baru balik surau, tak mungkin sebab surau nun jauh di simpang masuk kampung. Hendak kata Pak Lang pergi menoreh pun tak mungkin juga sebab laluan ke kebun getah orang tua itu ikut hala lain. Habis tu Pak Lang pergi mana tadi?
     Jalan depan rumah kosong yang baru saja mereka lalu tadi mana ada apa-apa. Keliling kawasan tersebut semua kebun getah. Yang ada hanya tanah perkuburan Islam, atas sikit saja dari rumah usang itu. Tapi, apa jadahnya Pak Lang dengan Mak Lang pergi ziarah kubur pagi-pagi buta macam ni? Takkan tak boleh tunggu esok siang? Mereka mula garu kepala.
-----------------------------------------------------------------
     "Pak Lang Berahim mana?" tanya Shafrie sambil tercari-cari kelibat jirannya tadi.
     "Belum sampai lagi... kenapa?" jawab Pak Hasan Kenit ketika menyambut kedatangan dua orang anak muda yang berbaju agak compang-camping itu. Bau hamis peluh mereka bercampur dengan bau getah semerbak menerjah hidung Pak Hasan walaupun cuaca pagi itu masih sejuk.
     Belum? Jawapan itu menyebabkan perut mereka terasa senak. Serta-merta wajah dua anak muda itu berubah. Shafrie dan Shahrizan saling berpandangan. Mereka telan air liur. Belum? Bukan ke tadi Pak Lang Berahim dah datang sini? Pelik! Bukan main laju lagi Pak Lang kayuh basikal, takkan tak sampai sini lagi?
     "Hah... yang kau orang berdua tercegat kat situ kenapa?" sergah Pak Hasan.
     "Err.. tak ada apa-apa lah Pak Hasan," jawab Shafrie pantas. Dalam kepalanya muncul seribu satu persoalan. Hajat nak minum teh tarik pagi itu terbantut. Mereka perlu segera cari Pak Lang Berahim.
     Balik dari warung Pak Hasan Kenit, Shafrie dan Shahrizan terus singgah ke rumah Pak Lang Berahim, selang beberapa blok sahaja dari rumah mereka. Lelaki berusia 70-an itu keluar sebaik mendengar suara garau Shafrie memberikan salam.
     "Pak Lang pergi mana tadi?" tanya Shafrie. Hatinya bersungguh mahu tahu ke mana orang tua itu pergi selepas berselisih dengannya di rumah kosong itu. Lepas berselisih, Pak Lang Berahim terus hilang tak tahu ke mana.
     "Ada kat rumah, tak pergi mana-mana pun. Ni baru aku nak keluar pergi ke warung Pak Hasan," jawab Pak Lang Berahim sambil membetulkan gulungan kain pelekat di perutnya yang sedikit terbonjol. Tangannya memegang tongkat kayu dan sebatang cerut yang masih berasap.
     "Jangan buat lawak, Pak Lang. Cuba Pak Lang cakap betul-betul ke mana Pak Lang pergi tadi?" tanya Shahrizan serius. Dia masih tak puas hati dengan jawapan lelaki tua berambut putih itu.
     "La... kan aku dah beritahu," balas Pak Lang Berahim. "Aku tak pergi mana-mana pun. Dari tadi aku duduk di rumah. Ni baru nak keluar. Kalau tak percaya, kau berdua pergi tanya Mak Lang. Betul tak?" kata orang tua itu sambil menoleh menjuih mulut ke arah isterinya yang berdiri di muka pintu. Mak Lang Mah yang masih bertelekung hanya mengangguk bersetuju.
     Perkara itu semakin memeningkan kepala Shafrie dan Shahrizan. Mereka garu kepala yang tak berapa nak gatal. Habis, siapa pula lelaki naik basikal yang mereka tengok kat rumah usang tadi tu? Memang sah, kelibat yang mereka lihat ialah Pak Lang Berahim. Bukan baru sehari dua Shafrie dan Shahrizan kenal Pak Lang. Mereka sekampung, berjiran pula. Usahkan dari depan, dari tepi atau belakang pun mereka boleh cam Pak Lang Berahim.
     Basikal tua, kain pelekat hijau, T-shirt pagoda putih, tali pinggang Mekah, susuk badan, semuanya sama dengan Pak Lang. Walaupun masa tu pukul 6.00 pagi masih gelap, tapi mereka nampak jelas melalui cahaya lampu motor. Tak diragui lagi, memang sah itu Pak Lang Berahim.
     Kalau dah tuan empunya badan menafikan, jadi, siapa pula makhluk itu?
     "Aku rasa kau orang berdua dah jumpa 'benda lain' ni..." kata Pak Lang dengan nada sedikit serius. 'Benda lain'? Mungkin betul kata orang tua itu, mereka dah terserempak dengan 'benda lain'.
     Semua penduduk di Kampung Umbut tahu, kawasan di sekitar rumah peninggalan itu bukan sembarangan. Sudah banyak berlaku kejadian misteri di situ. Macam-macam cerita pelik yang mereka dengar.
     Pagi itu, Pak Lang Berahim membuka kisah. Rumah yang ditinggalkan lebih 20 tahun itu sebenarnya dihuni oleh hantu pocong. Makhluk itulah yang menjaga rumah itu selama ini. Ramai di kalangan penduduk kampung sering melihat kelibat pocong berkeliaran di rumah berkenaan. Kadang-kadang ia dilihat terbaring di laman dan ada kalanya bertenggek di tangga rumah.
     Malah ada di antara penduduk kampung pernah dihambat oleh benda bergolek-golek dalam kain kapan ketika melalui kawasan tersebut. Setiap kali benda itu muncul bau kapur barus akan menyelinap ke dalam hidung.
     Yang peliknya, walaupun telah ditinggalkan berpuluh-puluh tahun, tetapi struktur binaan rumah itu masih utuh. Tak reput dan kayunya tak dimakan anai-anai. Cuma kawasan rumah sahaja nampak semak samun sebab tak ada siapa yang jaga.
     Sekarang, Shafrie dan Shahrizan adalah mangsa terbaru. Kalau diceritakan peristiwa tadi kepada kawan-kawan kampung, mereka pasti akan ketawa. Ketawa perli- 'padan muka, siapa suruh lalu kawasan rumah hantu itu'. Macam itulah maksudnya lebih kurang.
     Seperti yang dikatakan tadi, apa yang berlaku adalah mudah. Tetapi endingnya yang misteri. Kalau makhluk yang bertenggek di belakang tempat duduk basikal Pak Lang Berahim itu pocong, siapakah pula yang mengayuhnya?


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin